CLICK HERE FOR FREE BLOG LAYOUTS, LINK BUTTONS AND MORE! »

Ahad, 27 Februari 2011

LIF

Sekadar gambar hiasan

Setiap hari selepas pulang dari kuliah, saya dan rakan akan menaiki lif untuk ke rumah masing-masing di Kolej Harun Aminurrashid. Keadaan lif di blok tiga, kolej tersebut agak perlahan. Mungkin ingin menghilangkan rasa bosan dan keletihan di dalam lif, kami pun berbual-bual.


Saya : Letihnya hari ni.
Rakan : Yelah, letih betul.
Saya : Lambat pulak lif ni bergerak.
Rakan : Yelah, berapa jam agaknya nak sampai ni.
Saya : (Tersenyum mendengar keluhan rakan)

Penggunaan ‘berapa jam’ yang digunakan oleh rakan saya itu tampak seperti kami ingin pergi ke suatu tempat yang jauh. Kata-kata yang digunakan itu sebenar suatu sindiran kepada lif yang lambat bergerak. Keadaan lif yang perlahan, kadang kala boleh membuatkan pengguna berasa tidak sabar. Namun, kesabaran itu sebenarnya separuh daripada iman. Jika keadaan lif ketika itu mengalami kerosakan pasti banyak perkara lagi yang timbul, hanya disebabkan kita tidak bersabar. Jadi, natijahnya kita perlulah bersyukur dengan kemudahan lif yang dapat kita gunakan dan perlulah kita gunakan dengan sebaik mungkin.

TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA!!

Adakah anda tahu, bahasa Melayu yang sering kita gunakan untuk berkomunikasi sudah mula diminati oleh masyarakat dari luar negara? Mari lihat video yang saya perolehi daripada ‘youtube’ ini:


Melalui video tersebut, tanggapan bahawa bahasa Melayu semakin terpinggir adalah tidak benar sama sekali. Bahkan masyarakat daripada luar negara sendiri meminati bahasa Melayu kita. Mereka juga berasa teruja dan kagum untuk berbahasa Melayu. Peribahasa yang menjadi warisan Melayu juga sudah dapat fahami dan digunakan oleh mereka. Kita seharusnya berasa bangga pada bahasa kebangsaan sendiri yang semakin diketahui dan dipelajari oleh masyarakat antarabangsa. Jadi, bahasa kebangsaan yang kita gunakan dalam semua aspek ‘tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas’. ‘Takkan Melayu hilang di dunia!!’


Jumaat, 18 Februari 2011

TANGAN

Indahnya bahasa yang dicipta oleh masyarakat dahulu. Saya kagum dengan ketelitian mereka dalam mencipta peribahasa misalnya dengan hanya menggunakan bahagian anggota badan kita sahaja. Sebagai contoh, menggunakan bahagian anggota badan ‘tangan’. Dengan hanya menggunakan perkataan ‘tangan’, kita boleh menemukan pelbagai jenis peribahasa. Mari lihat penggunaan perkataan ‘tangan’ dalam peribahasa:

o    Tangan besi         -     pemerintahan yang keras
o    Tangan dingin      -     selalu menjadi perbuatannya (seperti 
                             menanam pokok, mengubat penyakit 
                             dan sebagainya)
o    Tangan panjang    -     orang yang suka mencuri
o    Tangan kanan       -     pembantu yang terutama
o    Tangan kosong      -     tidak mendapat atau membawa apa-apa
o    Tangan naik           -    selalu menang dalam perjudian
o    Tangan panas        -    segala perbuatannya selalu gagal
o    Tangan terbuka    -     suka menolong orang yang dalam kesusahan
o    Tangan turun        -     selalu mendapat kerugian dalam perjudian, 
                                tidak beruntung
o   

        Diatas hanya peribahasa yang menggunakan perkataan ‘tangan’. Cuba anda kumpulkan senarai peribahasa yang menggunakan bahagian anggota badan yang pula.

GADUH

Pada hari ini, rakan sebilik saya sangat gembira ketika pulang daripada pergi membeli-belah di pekan. Beberapa hari yang lepas, dia asyik bercakap dan memberitahu dirinya terasa untuk makan buah pisang. Jadi, keesokkan harinya dia ke pekan dan membeli sesisir pisang. Dengan hati yang gembira dia berkata:

Rakan sebilik : Hari ni dapat makan pisang. Ambil tau kalau nak.
Saya : Tak apalah, saya tak suka makan pisang.
Rakan sebilik : Saya suka. Senang buka. Tak gaduh nak buka kulit. (sambil ketawa)
Saya : Ha…gaduh? Apsal nak gaduh-gaduh pulak? (dalam hati saja)
Rakan sebilik : Kalau nak makan buah epal, kena ada yang tolong kupaskan kulit baru saya makan.
Saya : Oh… (ketawa sendiri kerana baru faham)

Sahabat saya berasal dari Pulau Pinang dan saya pula berasal dari Johor. Sebelum ini saya tidak pernah tinggal satu bilik dengan sahabat yang berasal dari Pulau Pinang, jadi bahasa dialek yang digunakan olehnya sedikit sebanyak kurang saya fahami. Apa yang dimaksudkan dengan perkataan ‘tak gaduh’ itu ialah ‘tak susah dan tak payah’. Di sini berlaku pertembungan penggunaan bahasa dialek yang kadang kala tidak dapat difahami. Namun, menerusi gaya pengucapan kata-katanya, kita dapat memahami maksud yang diperkatakan itu.

LAGU KANAK-KANAK YANG MENGHIBURKAN

Lagu kanak-kanak sangat menghiburkan kepada sesiapa walaupun usia kita sudah semakin meningkat. Lagu kanak-kanak ini kita pelajari dan ketahuinya sama ada sewaktu sekolah atau mendengar rakan-rakan menyanyi. Banyak ajaran positif yang ditonjolkan dalam lagu kanak-kanak ini kerana menerapkan puisi tradisional seperti pantun. Oleh itu, kita mahupun kanak-kanak dapat mempelajari pantun melalui lagu kanak-kanak. Rentetan itu, puisi tradisional ini dapat dihidupkan sentiasa dalam bentuk apa sekalipun supaya 'tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas'. Antara lagu kanak-kanak yang masih popular ialah rasa sayang, lagu tiga kupang, burung kakak tua dan banyak lagi. Di bawah ini saya sertakan lagu kanak-kanak yang bertajuk ‘Rasa Sayang’, selamat berhibur.


Rasa sayang eh 
Rasa sayang sayang eh 
Eh lihat nona jauh 
Rasa sayang sayang eh

Buah cempedak diluar pagar
Ambil galah tolong jolokkan
Kami budak baru belajar
Kalau salah tolong tunjukkan



SURAT KIRIMAN RASMI

Kadang kala kita sering lupa format untuk menghasilkan sebuah karangan surat kiriman rasmi. Padahal di peringkat sekolah, kita sudah mempelajari format karangan tersebut hampir setiap tahun. Mungkin kita tidak lupa, tetapi kerana tidak biasa menulis surat kiriman rasmi menyebabkan kita berasa ragu-ragu dan perlunya rujukan tentang karangan tersebut. Pada minggu lepas, rakan sebilik saya ingin menulis surat kiriman rasmi diatas ketidakhadirannya ke kuliah. Oleh sebab rakan sebilik saya ini ragu-ragu dengan format yang betul bagi karangan tersebut, dia telah mencari karangan surat kiriman rasmi di laman web untuk dijadikan sebagai contoh. Maklum sahajalah, di laman web bermacam-macam format yang boleh didapati. Salah satunya seperti karangan surat kiriman rasmi di bawah:


Penggunaan bahasanya rojak dan format yang digunakan juga tidak betul, boleh merosakkan sistem bahasa Melayu. Karangan jenis surat kiriman rasmi yang baik dan tepat formatnya adalah seperti berikut:

Kampung Awek,
22000, Jerteh,
Terengganu.
________________________________________________________________
Guru kelas,
Tahun 6 kenanga,
Sekolah Kebangsaan Darau,
22000, Jerteh,
Terengganu.                                           20 OKTOBER 1998              

Cikgu,
Tidak Dapat Hadir Ke Sekolah
Berhubung dengan perkara di atas, saya Habibah Bt. Ghazali murid Tahun 6 Kenanga ingin memaklumkan bahawa saya tidak hadir ke sekolah kerana diserang demam panas.  
2.     Saya telah pun mendapatkan rawatan doktor di salah sebuah klinik. Doktor menasihatkan saya supaya berehat selama dua hari.
3.     Bersama-sama surat ini, saya sertakan surat akuan doktor untuk makluman dan tindakan cikgu. Saya berharap agar cepat sembuh dan dapat datang semula ke sekolah seperti biasa.  
Atas perhatian dan kerjasama cikgu, saya dahului dengan ucapan terima kasih.        
Sekian.
Yang benar,
( HABIBAH BT. GHAZALI ) 

TUDUNG

Tudung adalah sesuatu yang digunakan untuk menutup bahagian kepala. Bagi kaum wanita Islam bertudung, tudung merupakan suatu keperluan yang sangat penting. Penampilan bertudung yang cantik dan menarik sangat dititikberatkan kerana daripada penampilan luaran kita akan menggambarkan diri seseorang wanita. Pelbagai rekaan tudung yang hangat dipasaran ketika ini telah menambat hati kaum perempuan untuk membelinya. Karnival yang diadakan di Kolej Harun Aminurrashid dan kolej-kolej lain, antaranya menjual tudung yang mempunyai pelbagai jenis dan rupa. Kesemua tudung yang dijual mengikut rekaan terbaru pada masa kini.
Pada kali ini, saya bukan mahu menyentuh soal rekaan yang sedang hangat dipasaran tetapi kekreatifan pereka yang meletakkan nama tudung mereka. Adakah anda ingat suatu ketika dahulu, nama-nama artis yang sedang hangat dalam industri hiburan menjadi pilihan untuk dijadikan nama tudung yang direka? Rekaan tudung bawal telah mendapat nama masing-masing daripada nama artis yang sedang hangat. Sebagai contoh, tudung bawal Wardina, tudung bawal Mawi, tudung bawal Datuk K, tudung bawal Datuk Siti, tudung bawal Angkasawan, tudung bawal Manjalara, dan bermacam-macam lagilah nama nama artis yang ada.
Saya pasti dan jelas, penamaan tudung ini merupakan salah satu strategi untuk menarik pelanggan atau pembeli untuk membeli tudung tersebut.

Tudung Bawal Mawi

Tudung Bawal Dato' Siti Nurhaliza