CLICK HERE FOR FREE BLOG LAYOUTS, LINK BUTTONS AND MORE! »

Jumaat, 18 Mac 2011

JAMPI SERAPAH

Assalamualaikum. Pada hari ini saya ingin menceritakan perihal mengenai anak saudara saya yang bernama Thaqif. Thaqif seorang yang aktif dan dengan itu dia selalu jatuh kemudian menangis. Saya teringat jampi atau pengubat yang diucapkan oleh ibu saya kepada Thaqif apabila dia menangis menahan sakit. Apabila ibu saya membacakan jampi tersebut dengan serta-merta tangisan Thaqif berkurangan dan dia kembali ceria. Di bawah ini saya sertakan jampi yang dibaca oleh ibu saya dalam versi dialek Jawa:

Puh ja pi puh,
Abang biru turuk asu;
Wong nakal,
Memang gitu.

Dalam versi bahasa Melayu pula, seperti berikut:


Tuku takal,
Muka pintu;
Orang nakal,
Memang begitu.


Komen/pendapat:
Masyarakat Melayu tradisi menggunakan jampi untuk mengubati penyakit. Pembacaan jampi ini tidak boleh terlalu dipercayai kerana terdapat unsur-unsur khurafat. Pada pandangan saya, bacaan jampi ini sekadar untuk memberikan ketenangan dan kegembiraan kepada hati pesakit. Hal demikian kerana jampi tersebut juga memiliki unsur berjenaka. Apabila hati pesakit dapat ditenangkan dan dihiburkan, maka segala sakit akan berkurangan. Secara psikologinya, apabila minda tenang penyakit juga lama-kelamaan tidak dirasai lagi. Sebagai contoh, anak saudara saya sebenarnya tidak faham apa yang diucapkan oleh ibu saya tetapi disebabkan kata-kata yang dirasakan lucu itu membuatkan dirinya tidak menangis lagi.

BAHASA DIALEK

Bahasa dialek adalah satu bentuk bahasa yang digunakan dalam sesuatu daerah atau oleh sesuatu kelas sosial, berbeza daripada bahasa standard. Tidak dinafikan bahasa dialek sangat unik untuk dipelajari. Namun, penggunaan bahasa dialek juga perlu sesuai dengan situasi atau suasana. Bahasa dialek dalam pengiklanan bagi mempromosikan sesuatu barangan tidak sesuai digunakan kerana tidak semua masyarakat memahami istilah dialek yang digunakan, kecuali istilah tersebut sudah diguna pakai oleh setiap orang. Lihat contoh di bawah:



Komen/pendapat:
‘Kerepek sedap sengoti, dalam mempromosikan jualan kerepek tersebut penjual menggunakan perkataan sengoti. Perkataan tersebut sememangnya saya tidak faham, namun saya tahu  perkataan itu adalah berasal daripada bahasa dialek Kelantan. Setelah bertanya kepada rakan, baru faham maksud perkataan tersebut. Sengoti itu bermaksud sungguh, jadi maksud yang ingin disampaikan oleh penjual adalah ‘kerepek sedap sungguh’. Pada pandangan saya, penggunaan perkataan yang lebih mudah difahami oleh semua orang lebih sesuai digunakan dalam mempromosikan sesuatu barangan. Hal demikian juga kerana tujuan penjual sebenarnya adalah untuk memberitahu kepada orang sekelilingnya, yang bukan hanya terdiri daripada satu kelompok masyarakat sahaja.

BAHAN BANTU MENGAJAR

Pengajaran Makro yang dilakukan oleh kumpulan keenam pada hari ini saya dapat merasakan kelainannya. Mereka mengajar menggunakan video yang memaparkan jenis-jenis gaya bahasa dalam bentuk lagu sebagai bahan bantu mengajar. Pengajaran berirama seperti yang ditunjukkan oleh mereka secara langsung dapat membantu pelajar memahami dan mengingati tentang pelajaran yang diajarkan oleh guru. Di bawah ini saya sediakan video menarik yang dapat dijadikan sebagai bahan bantu mengajar:

Contoh Video


Komen/pendapat:
Pada pandangan saya, pengajaran yang menarik pasti dapat memberi kesan positif kepada pelajar. Pengajaran yang menggunakan irama ini salah satu strategi untuk pelajar lebih cepat faham dan seterusnya mengingati isi pengajaran guru. Bahan pengajaran tersebut juga dapat memberikan sedikit kelainan pembelajaran. Oleh itu, pelajar tidak akan mudah berasa bosan dan mereka akan dapat memberikan sepenuh perhatian semasa guru mengajar. Kekreatifan guru dalam mempelbagai pengajaran sebenarnya dapat menjayakan aktiviti di dalam bilik darjah. Dengan itu, jadilah guru yang kreatif dalam mendidik pelajar agar pemikiran mereka lebih kreatif dan terbuka. 

PROMOSI

Pada setiap semester, pasti setiap kolej tidak terlepas untuk menganjurkan sebuah karnival. Karnival yang diadakan pastinya untuk mengeratkan lagi ukhuwah antara penghuni kolej. Oleh itu, pelbagai aktiviti dijalankan dan pelbagai jualan dibuka. Saya dan rakan-rakan juga tidak terlepas untuk bersama-sama memeriahkan program yang diadakan. Semasa berjalan-jalan sekitar gerai yang dibuka, pelbagai tarikan yang digunakan oleh penjual. Antaranya menulis kata-kata menarik pada kertas yang diletakkan di tempat jualan mereka. Namun, terdapat juga pelbagai kesalahan bahasa yang digunakan. Lihat contoh dibawah:



Komen/pendapat:
Penggunaan bahasa pasar atau bahasa percakapan digunakan dalam mengiklankan jualan dirasakan tidak begitu sesuai. Huruf dalam perkataan yang digunakan juga tidak selari iaitu menggunakan huruf besar ditengah-tengah perkataan. Selain itu, di dalam kertas itu juga terdapat kesalahan ‘3x’ yang ingin menunjukkan perkataan ‘boleh’ itu berganda. Walaupun sebenarnya tujuan penjual adalah untuk memudahkan pembeli dengan segala penerangan yang ditulis pada kertas, namun secara langsung juga akan menyebabkan bahasa Melayu tercemar. Dalam mengiklankan suatu jualan, bahasa ringkas sahaja sudah sesuai digunakan dan tidak perlu menggunakan bahasa percakapan yang dilihat tergantung dan tidak lengkap maksudnya.

CERITA ANAK SAUDARAKU

Pada hujung minggu yang lepas, saya mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung halaman di Kampung Semerah, Batu Pahat, Johor. Oleh sebab sudah lama tidak berjumpa dengan anak saudara, saya mengambil kesempatan balik kampung ini untuk melayan kerenahnya. Sikapnya yang sangat mesra dan banyak bercakap membuatkan saya gembira melayan segala kelakuannya. Anak saudara saya bernama Ahmad Thaqif Zaim bin Mohd. Haniff sangat meminati animasi ‘Upin dan Ipin’. Setiap kali saya pulang, pasti Thaqif akan meminta saya untuk membuka cerita ‘Upin dan Ipin’ dalam komputer riba saya. Walaupun sudah beberapa kali menonton cerita animasi ini, namun Thaqif tidak jemu. Namun, pada minggu itu saya sangat terkejut kerana Thaqif yang berusia 2 tahun telah dapat menghafal dialog dalam cerita tersebut. Tingkah lakunya sangat mencuit hati, apabila melihat dia dapat menyebut dialog tersebut. Di bawah ini, saya sediakan satu sedutan cerita animasi ‘Upin dan Ipin’ yang disukai oleh Thaqif:




Komen/pendapat:
Pada pandangan saya, kanak-kanak mempunyai daya imaginasi yang kuat dan dapat belajar dengan cepat apabila diberikan peneguhan yang kerap. Selain itu juga, layanan dan perhatian yang baik oleh orang yang lebih tua daripada kanak-kanak dapat membantu mereka belajar dengan mudah dan cepat. Bahan seperti gambaran atau imej yang menarik juga dapat membantu kanak-kanak belajar sesuatu dengan mudah. Jadi, bahan yang kreatif akan membuatkan minda kanak-kanak semakin berkembang dan aktif.

Ahmad Thaqif Zaim yang semakin membesar
   

MALU BERTANYA SESAT JALAN

Situasi ini berlaku ketika saya dan keluarga pergi melawat makcik saya yang sakit di hospital. Semasa tiba di hospital, saya dan kakak pergi mencari tempat letak kereta. Sementara yang lain sudah memasuki hospital terlebih dahulu. Pada waktu petang itu, ramai pelawat yang datang. Jadi, tempat letak kereta sudah penuh. Oleh sebab kami jarang ke hospital tersebut, kami tidak tahu dimana letaknya wad pesakit. Kami berjalan dengan penuh yakin dan berharap akan ada papan tanda yang menunjukkan wad 4. Dalam perjalanan, ramai juga doktor dan jururawat yang melalui jalan tersebut. Kami malu untuk bertanya dan kakak saya pula sudah berjalan di hadapan sedikit dari saya. Kebetulan pula pada waktu itu saya berjalan beriringan dengan seorang doktor perempuan. Jadi, saya mengambil keputusan untuk bertanya.

Saya: Maaf puan, dimana wad empat? (Kakak saya pun berhenti apabila mendengar saya bertanya)
Doktor : La… ko ni. Patut pun tengok nampak pelik je. Kenapa tak tanya? Kesian ko…
Saya : (Tersenyum. Mungkin laluan itu untuk menuju ke sesuatu tempat (saya tahu ke mana) sebab saya melihat memang tiada orang biasa-biasa yang melalui jalan tersebut)
Doktor :  Wad empat dah lepas. Kat hadapan sana.
Saya : Oh, yeke. Terima kasih, puan.

Komen/pendapat:
 “Malu bertanya sesat jalan”. Tidak salah untuk bertanya kerana hanya dengan pertanyaan itulah ada jawapannya dan dapat menyelesaikan sesuatu masalah. Seseorang yang berat mulut untuk bertanya akan menemui jalan yang sesat dan kelakuan tersebut menampakkan lagi kelemahan dirinya.


   

BUATMU IBU

Selain lagu-lagu jenis pop, lagu yang menyentuh jiwa sering juga saya dengar. Bukan sekadar menjadi halwa telinga sahaja, tetapi untuk mengingatkan diri kepada sesuatu yang kadangkala kita lupa. Setiap lagu yang dicipta pastinya ada sesuatu yang ingin disampaikan. Pasti ramai yang mengetahui lagu ‘Buatmu Ibu’. Lagu ini walau dimana dan dalam suasana bagaimana sekalipun pasti akan mengingatkan kita kepada ibu, apatah lagi ketika berjauhan dengan ibu. Lirik lagunya sangat menyentuh hati pendengar walaupun sudah beberapa kali didengar. Bahasa yang digunakan cukup memberi kesan dalam diri seseorang, tambahan jika orang tuanya sudah meninggal dunia. Mari lihat lirik lagu yang telah saya sediakan di bawah berserta melodinya :




Komen/pendapat:
Apa pandangan anda? Walaupun hanya sebuah lagu, namun dapat menyentuh hati dan jiwa seseorang. Lagu tersebut juga dapat mengingatkan diri tentang pengorbanan seorang yang bernama ibu dalam mendidik dan menjaga anak mereka. Sebagai contoh, saya sendiri mungkin tidak dapat memberikan yang terbaik kepada ibu namun ibu saya adalah yang terbaik dalam kehidupan saya. Jadi, marilah saya dan anda pembaca menghayati lirik lagu ini dan menjadikan lagu ini untuk kita bermuhasabah diri. 

KHATAM AL-QURAN

Pada hujung minggu yang lepas, saya pergi menghadiri kenduri kahwin sepupu saya. Setelah selesai menjamu selera, saya bersama sanak saudara yang lain berbual-bual kosong. Ketika saya berbual-bual, datang tiga orang budak lelaki dalam lingkungan tujuh tahun makan berhadapan dengan saya. Saya cuba mencuri perbualan tiga sekawan tersebut. Antara perbualan yang saya dengar adalah berkaitan dengan membaca al-Quran. Masing-masing menceritakan tentang setakat mana yang telah dipelajari dan dibaca oleh mereka. Salah seorang daripadanya pula khabarnya sedikit lagi akan khatam al-Quran. Di dalam hati saya ‘bagus betul budak ini, anak siapa agaknya’.

Khatam al-Quran suatu yang menyeronokkan

Komen/pendapat:
Sebenarnya, jarang sekali saya mendengar perbualan kanak-kanak lelaki ke arah keagamaan. Bukankah kanak-kanak lelaki lebih seronok berbual-bual tentang cerita kartun, permainan seperti robot, bola sepak atau sebagainya? Namun, apa yang saya dengar sangat berbeza dengan tanggapan saya itu. Pada pandangan saya, apabila kanak-kanak itu telah dididik dengan ilmu agama sejak kecil lagi, pemikiran mereka juga terdorong untuk memikirkan soal-soal agama. Mereka sebenarnya dilihat ingin menceritakan kelebihan masing-masing. Hal demikian juga sangat baik kerana secara langsung dapat mendorong mereka untuk berlumba-lumba mempelajari kitab Allah ini. Bukankah khatam al-Quran itu suatu yang menyeronokkan? Pasti anda juga pernah melalui zaman kanak-kanak seperti itu. Persaingan sihat begini sekaligus dapat melahirkan generasi yang lebih baik dan saya mendoakan kanak-kanak itu tergolong dalam kalangan generasi yang berguna untuk agama, bangsa dan negara.

TERLALU DAHAGA AIR

Situasi yang saya ingin ceritakan pada hari ini berlaku di kampus. Saya dan rakan baru sahaja mengikuti kuliah pada pukul 2 hingga 3 petang di DK (dewan kuliah) dan akan berkuliah lagi pada pukul 4 petang. Sementara ada masa terluang, kami pergi ke kedai fotostat untuk mencetak bahan. Panas terik pada waktu itu telah membuatkan tekak saya berasa kering. Lalu saya pun bertanya kepada rakan saya.

Saya : Nak beli air.
Rakan : Beli air apa?
Saya : Air sejuk. Nak yang ice blanded. Kat mana ada jual?
(Kebetulan pada waktu itu di kampus terdapat karnival dan banyak gerai seperti makanan dan pakaian dibuka. Namun, tiada satu kedai pun yang menjual air yang saya inginkan itu. Kemudian, saya sedikit merungut.)
Rakan : Kau nampak sapa yang minum ni?
(Pertanyaan ini telah membuatkan saya dan rakan tergelak, kerana seakan-akan saya disoal seperti kanak-kanak)

Komen/pendapat:
Pasti anda juga pernah laluinya, mungkin ketika kanak-kanak dahulu. Saya masih ingat lagi ketika kecil, saya terlalu inginkan kereta api mainan yang mengeluarkan asap. Jadi, ibu saya bertanya, “kamu nampak siapa main?”. Rakan saya mungkin pelik melihat saya yang terlalu menginginkan air tersebut dan sehingga menyebabkan dia bertanya seperti itu. Dalam beberapa kejadian yang berlaku kepada kita ketika dewasa, mungkin juga pernah dilalui ketika kecil. Hal demikian akan menyebabkan kita berasa seperti sudah melalui peristiwa itu dan secara tidak langsung memori ketika kecil itu datang.

IMBUHAN AKHIRAN -KAN

Imbuhan akhiran –kan sering disalah guna dalam bahasa percakapan seharian. Kita sering menggunakan imbuhan akhiran –kan untuk menegaskan sesuatu hal atau bertanya sesuatu yang diragui oleh penutur. Sebagai contoh, lihat dialog dibawah ini:

Gambar edit


Komen/pendapat:
Penggunaan imbuhan akhiran –kan ini, sememangnya berlaku secara tidak sengaja dan sebenarnya sudah menjadi kebiasaan masyarakat. Sepatutnya, imbuhan akhiran –kan ini digunakan dalam perkataan yang bermaksud kata kerja. Sebagai contoh:
i.                   Program itu dilancarkan oleh Syarikat Permata Malaysia.
ii.               Ibu menyiapkan sarapan pagi untuk anak-anaknya.
Penggunaan imbuhan akhiran –kan yang salah dalam perkataan yang tidak sesuai boleh menyebabkan kita terutamanya pelajar keliru dengan penggunaan yang sebenar. Oleh itu, mari sama-sama kita berfikir sebelum menyatakan sesuatu.

CONTOH TERBAIK

Assalamualaikum. Ketika saya dan rakan baru sahaja menaiki bas untuk pulang ke kolej kediaman, seorang mahasiswi berbangsa cina membuat pengumuman tentang telefon bimbit yang dijumpainya di tempat duduk menunggu bas. Namun, tiada siapa pun yang mengaku kehilangan telefon bimbit tersebut. Kemudian, mahasiswi berbangsa cina itu bertindak memberikan telefon bimbit yang dijumpainya kepada pegawai keselamatan yang bertugas.

Komen/pendapat:
Pada pendapat saya, tindakan mahasiswi ini betul. Sebenarnya, jarang sekali untuk melihat sikap seseorang yang jujur dan bertanggungjawab. Jika 10 telefon bimbit yang hilang, saya yakin hanya tiga orang sahaja yang akan bertanggungjawab membuat aduan dan mengembalikan barangan itu kepada tuan empunya. Hal tersebut juga adalah berdasarkan pengalaman saya sendiri. Hanya tinggal beberapa minit sahaja, barang saya sudah hilang dan tidak dijumpai sehingga sekarang. Jadi, bagaimanakah cara untuk menerapkan nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat, terutamanya kepada mahasiswa dan mahasiswi yang akan menjadi penerus kemajuan negara? Pendidikan secara formal di dalam kelas sememangnya tidak cukup untuk menerapkan nilai-nilai murni dalam kehidupan, apatah lagi pada peringkat umur remaja yang semakin dewasa. Oleh itu, sikap dan motivasi diri sendiri sahajalah yang dapat membantu memelihara akhlak mulia diri seseorang. Jika baik hatinya, kelakuannya juga akan terpelihara daripada lakuan yang salah. Selain itu, setiap individu juga perlu mempunyai sikap sentiasa berhati-hati kerana kadangkala kehilangan sesuatu barang itu adalah disebabkan oleh kecuaian dan sikap terlalu terburu-buru diri sendiri.

SIAPA HARUS DIPERSALAHKAN?

Salah satu strategi untuk menghebahkan sesuatu program atau sebagainya adalah melalui pengiklanan. Antaranya pengiklanan melalui cetakkan kertas yang dapat menjimatkan kos dan mudah tersebar kepada masyarakat umum. Lihat iklan tersebut:



Komen/pendapat:
Sedia maklum bahawa, pengiklanan adalah bertujuan untuk menyebarkan maklumat secara umum. Jadi, jika maklumat itu diketahui umum dengan cepat maka strategi yang digunakan itu berkesan. Namun, dari segi penggunaan bahasa tidak diambil serius dalam mengiklankan sesuatu. Cuba anda perhatikan kesalahan bahasa dalam iklan tersebut. Sememangnya, pasti sukar mengelakkan kesalahan bahasa, tetapi contoh iklan di atas sangat jelas kesalahan bahasanya. Apabila penganjur sudah memilih untuk menggunakan bahasa Melayu mereka seharusnya menggunakan bahasa Melayu itu dengan sebaiknya, walaupun iklan tersebut untuk penyertaan debat bahasa Inggeris. Kesalahan yang sangat jelas ditunjukkan adalah penggunaan tanda seru dan tanda soal yang banyak dan penggunaan bahasa Inggeris yang diselitkan dalam iklan. Kesalahan yang digunakan sangat ringkas, namun sedikit sebanyak akan mencemarkan bahasa Melayu.

APABILA HATI TERUJA

Program Pesta Buku dan Informasi yang diadakan di Kolej Harun Aminurrashid sangat meriah. Program ini juga dimeriahkan lagi dengan jualan-jualan seperti pakaian, makanan dan sebagainya. Sepanjang minggu itu, cerita yang sering saya dengar dari rakan-rakan serumah adalah berkaitan dengan jualan dan program tersebut. Pada suatu petang, saya bertanya kepada salah seorang rakan serumah saya.

Saya : Mia, macam mana ok? (Saya menegur Mia ketika dia sedang melihat dirinya di cermin.)
Mia : Ok. Tadi Mia pergi tukar baju ni? Semalam beli nampak kecik. Ok kan?

Gambar Hiasan

Saya : Ha, ok. Ok je. (Sebenarnya bukan itu maksud pertanyaan saya tadi. Saya ingin tahu bagaimana dia menjadi pengacara di program tersebut kerana sebelum ini Mia tidak pernah lagi menjadi pengacara sesuatu majlis. Oleh sebab tidak mahu memalukan dirinya, saya pun tidak menyoal kembali)

Pada pandangan saya, Mia mungkin terlalu fokus dan teruja dengan baju yang dibeli olehnya berbanding menjadi pengacara majlis. Sehubungan dengan itu, pertanyaan saya yang tidak lengkap itu juga membuatkan Mia tidak menjawab dengan baik. Walaupun, pertanyaan itu boleh ditanyakan sekali lagi, namun mungkin pertanyaan sekali lagi itu akan membuatkan Mia berasa malu kerana dia dilihat sangat teruja dengan baju barunya. Kadangkala dalam situasi tertentu kita perlu menjaga hati dan perasaan rakan.

Khamis, 17 Mac 2011

SITUASI DI KEDAI FOTOSTAT


Pada hari ini, saya pergi ke kedai fotostat. Dialog di bawah ini menunjukkan sikap pemilik kedai tersebut:

Saya : Berapa semuanya?
Pemilik kedai : Lima puluh sen sahaja.
Saya : Sekejap ye. (Sambil mencari duit syiling yang terdapat dalam kotak pensil saya)
Pemilik kedai : Nak bagi duit pun lambat. (wajahnya serius)

Ya Allah, tunggu sebentar pun tidak boleh. Jadi benarlah kata-kata ‘penantian itu satu penyeksaan’. Saya tidak berkata apa-apa. Hanya mencari duit syiling untuk membayar. Pada pandangan saya, pemilik kedai itu tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata sebegitu. Jikalau bergurau sekalipun, pasti akan mengguris hati pelanggan. Tambahan pula, tidak mengenali antara satu sama lain. Kata-kata pemilik kedai itu seolah-olah menunjukkan saya tiada wang besar untuk diberikan kepadanya. Padahal, bukankah lagi mudah jika saya membayar dengan wang yang secukupnya dan tidak perlulah untuk memulangkan wang baki.
Jadi, satu kursus etika beradab seharusnya dilakukan oleh kerajaan kepada peniaga-peniaga Malaysia. Jika masyarakat luar yang datang sebagai pelanggan, pasti mereka memandang serong terhadap cara kita beradab..

Rabu, 16 Mac 2011

PERIBAHASA ZAMAN SEKARANG

Pada hari ini, saya menonton drama ‘Adnan Sempit The Series’. Sedang saya menonton, saya dapati ada peribahasa yang diselitkan dalam cerita tersebut. Mari kita ikuti sedikit sedutan daripada cerita ini:




‘Dimana ada kemahuan, disitu ada highway’. Peribahasa inilah yang diselitkan dalam video diatas. Pada pandangan saya, peribahasa yang diselitkan dalam cerita ini ada baik dan buruknya. Peribahasa yang digunakan dalam cerita ini tidak dinafikan secara langsung membantu penonton ingat kembali peribahasa Melayu. Namun, apabila peribahasa ini telah digunakan oleh secara meluas, maka peribahasa lama akan dilupai. Kita juga mengetahui bahawa media massa merupakan medium yang sangat besar pengaruhnya kepada remaja dan juga kanak-kanak. Jadi, hal demikian boleh menyebabkan peribahasa Melayu semakin pupus. 

DENGAR KATA-KATA ORANG TUA

Orang tua-tua zaman dulu sering memberikan isyarat atau tanda tertentu. Bahasa isyarat ini menggunakan pergerakan anggota badan sahaja. Contohnya seperti mengenyit mata, mengerling mata, mengangkat tangan, memuncungkan mulut dan sebagainya. Anak-anak generasi terdahulu juga memahami apa yang ingin disampaikan oleh orang tua mereka. Sebagai contoh, pada hari tersebut tetamu datang mengunjungi rumah. Jadi sebagai anak perempuannya perlu menyediakan air untuk tetamu. Ibu pula akan memberi isyarat mengenyit mata. Maka, anak perempuan itu faham dan pergi ke dapur. Namun, pada zaman ini anak-anak semakin tidak mengerti bahasa isyarat yang ditunjukkan oleh orang tuanya. Apabila ibu kita mengenyit mata, anaknya bertanya pula ‘kenapa mak? Sakit mata ye?’.

Hal berikutnya ini mungkin juga berlaku kepada anda sewaktu zaman kanak-kanak dahulu. Situasinya seperti di bawah:

Si Emak : Emy, nak ke mana tengah-tengah hari ni? Tidur sini.
Si Anak : Tak nak. Nak pergi main pondok-pondok dengan Ira.
Si Emak : Ha… pergilah… pergi…
Si Anak : (tak jadi pergi)




Kiasan yang digunakan oleh ibunya itu difahami oleh anaknya. Ibunya memang benar-benar tidak mahu anaknya keluar bermain pada waktu itu. Kebiasaannya, waktu tengah hari adalah waktu makan dan tidur. Namun, kanak-kanak sememangnya tidak kenal erti penat kerana fikiran mereka terarah untuk bermain. Ibu juga sebenarnya tidak mahu anaknya keluar bermain di rumah jiran pada waktu tengah hari kerana khuatir anaknya diberi makan. Hal demikian kerana ibu khuatir jiran akan mengatakan bahawa anaknya tidak makan, walaupun hal ini sebenarnya tidak terlintas dalam fikiran jirannya. Dalam situasi sekarang pula, jika dibandingkan dengan kanak-kanak pada zaman ini mereka tidak akan faham dengan maksud yang dikatakan oleh orang tuanya. Malah, mereka akan melakukan sesuatu itu walaupun ditegah.

HORMAT-MENGHORMATI

Situasi yang ingin saya ceritakan ini berlaku semasa saya ingin pulang ke kampung. Sewaktu itu stesan bas Puduraya tidak lagi beroperasi, jadi untuk pulang ke Johor kami perlu menaiki bas di Bukit Jalil. Sedang kami berjalan untuk menyeberang jalan dan bergegas menuju ke kawasan bas, seorang pemandu teksi dalam lingkungan 50 tahun itu menegur kami.

Pemandu teksi : Nak ke mana?
Kami : Johor. Kami sudah beli tiket bas.
(Kami tahu pakcik itu mahu kami menaiki teksinya jika tidak membeli tiket lagi. Jadi, kami jawab sebegitu. Kami dengan pantas berjalan untuk mengejar masa, takut tertinggal bas)
Pemandu teksi : Orang tanya baik-baik. Macam ni ke pelajar universiti? Nampak je pakai tudung, tapi kurang ajar. Otak letak kat lutut. (macam-macam lagi perkataan yang terkeluar daripada mulutnya)

Sememangnya kami sangat terkejut dengan kata-kata pemandu teksi itu. Kami sempat lagi menoleh ke belakang sebelum melintas, pemandu teksi itu tetap juga membebel dan mengeluarkan perkataan yang tidak baik. Jika diikutkan hati ingin saja menegur sikap pakcik itu, namun kami sudah lewat dan tidak mahu mencari gaduh. Maklum sajalah, di Kuala Lumpur berbagai-bagai jenis manusia boleh kita lihat dan boleh berlaku.
Pada pandangan saya, nasihat seperti orang muda perlu menghormati orang yang lebih tua itu tidak seimbang. Seharusnya, orang yang lebih tualah yang perlu menunjukkan sikap-sikap positif dan adab yang sopan, jika mahu orang yang lebih muda menghormati mereka. Dalam situasi itu, kami menjawab dengan ringkas kerana perlu mengejar masa. Jadi, pemandu teksi itu perlulah faham. Mungkin kemarahannya itu disebabkan tiada penumpang yang menaiki teksinya. Namun sikap seperti itu sebenarnya membuatkan pelanggannya semakin berkurangan.

Sabtu, 5 Mac 2011

PERIBAHASA MODEN

Situasi yang saya ingin ceritakan ini berlaku ketika saya dan rakan-rakan hendak pulang dari menghadiri kuliah ganti di kampus. Dalam perjalanan menuju ke kolej, rakan saya yang duduk di sebelah saya menunjukkan sesuatu. Pastinya gosip.

Si A  : Kau nampak tak apa yang aku nampak?
Saya : Apa? Apa yang kau nampak?
Si A  : Nampak tak si gedik tu jalan dengan siapa?
Saya : Ha? Gedik? Mana-mana?
Si A  : Kau ni… sudah terang lagi bersportlight tu. Tak nampak lagi?
Saya : Tak nampak la.
Si A  : Si gedik tu dah pergi. Dah tak nampak.


Lihat peribahasa yang digunakan oleh rakan saya itu. Pada zaman ini, kita dapat mendengar peribahasa-peribahasa yang sudah ditukar perkataannya mengikut kreativiti masing-masing. Tujuannya untuk berlawak atau secara sengaja. Seharusnya peribahasa tersebut berbunyi ‘sudah terang lagi bersuluh’, iaitu bermaksud perkara yang sudah terang dan nyata sehingga diketahui umum. Mungkin perkataan ‘bersuluh’ ditukarkan pada perkataan ‘bersportlight’ kerana untuk menunjukkan sesuatu perkara itu benar-benar terang, maklum sajalah sportlight lebih besar dan dapat menerangi permukaan luas yang gelap. Pada pandangan saya, pengubahan perkataan dalam peribahasa tersebut sudah menghilangkan nilai estetik peribahasa itu. Sedang negara memperluas warisan bahasa kita, penutur yang menggunakan bahasa tersebut telah mencemarkannya sendiri.


Ahad, 27 Februari 2011

LIF

Sekadar gambar hiasan

Setiap hari selepas pulang dari kuliah, saya dan rakan akan menaiki lif untuk ke rumah masing-masing di Kolej Harun Aminurrashid. Keadaan lif di blok tiga, kolej tersebut agak perlahan. Mungkin ingin menghilangkan rasa bosan dan keletihan di dalam lif, kami pun berbual-bual.


Saya : Letihnya hari ni.
Rakan : Yelah, letih betul.
Saya : Lambat pulak lif ni bergerak.
Rakan : Yelah, berapa jam agaknya nak sampai ni.
Saya : (Tersenyum mendengar keluhan rakan)

Penggunaan ‘berapa jam’ yang digunakan oleh rakan saya itu tampak seperti kami ingin pergi ke suatu tempat yang jauh. Kata-kata yang digunakan itu sebenar suatu sindiran kepada lif yang lambat bergerak. Keadaan lif yang perlahan, kadang kala boleh membuatkan pengguna berasa tidak sabar. Namun, kesabaran itu sebenarnya separuh daripada iman. Jika keadaan lif ketika itu mengalami kerosakan pasti banyak perkara lagi yang timbul, hanya disebabkan kita tidak bersabar. Jadi, natijahnya kita perlulah bersyukur dengan kemudahan lif yang dapat kita gunakan dan perlulah kita gunakan dengan sebaik mungkin.

TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA!!

Adakah anda tahu, bahasa Melayu yang sering kita gunakan untuk berkomunikasi sudah mula diminati oleh masyarakat dari luar negara? Mari lihat video yang saya perolehi daripada ‘youtube’ ini:


Melalui video tersebut, tanggapan bahawa bahasa Melayu semakin terpinggir adalah tidak benar sama sekali. Bahkan masyarakat daripada luar negara sendiri meminati bahasa Melayu kita. Mereka juga berasa teruja dan kagum untuk berbahasa Melayu. Peribahasa yang menjadi warisan Melayu juga sudah dapat fahami dan digunakan oleh mereka. Kita seharusnya berasa bangga pada bahasa kebangsaan sendiri yang semakin diketahui dan dipelajari oleh masyarakat antarabangsa. Jadi, bahasa kebangsaan yang kita gunakan dalam semua aspek ‘tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas’. ‘Takkan Melayu hilang di dunia!!’


Jumaat, 18 Februari 2011

TANGAN

Indahnya bahasa yang dicipta oleh masyarakat dahulu. Saya kagum dengan ketelitian mereka dalam mencipta peribahasa misalnya dengan hanya menggunakan bahagian anggota badan kita sahaja. Sebagai contoh, menggunakan bahagian anggota badan ‘tangan’. Dengan hanya menggunakan perkataan ‘tangan’, kita boleh menemukan pelbagai jenis peribahasa. Mari lihat penggunaan perkataan ‘tangan’ dalam peribahasa:

o    Tangan besi         -     pemerintahan yang keras
o    Tangan dingin      -     selalu menjadi perbuatannya (seperti 
                             menanam pokok, mengubat penyakit 
                             dan sebagainya)
o    Tangan panjang    -     orang yang suka mencuri
o    Tangan kanan       -     pembantu yang terutama
o    Tangan kosong      -     tidak mendapat atau membawa apa-apa
o    Tangan naik           -    selalu menang dalam perjudian
o    Tangan panas        -    segala perbuatannya selalu gagal
o    Tangan terbuka    -     suka menolong orang yang dalam kesusahan
o    Tangan turun        -     selalu mendapat kerugian dalam perjudian, 
                                tidak beruntung
o   

        Diatas hanya peribahasa yang menggunakan perkataan ‘tangan’. Cuba anda kumpulkan senarai peribahasa yang menggunakan bahagian anggota badan yang pula.

GADUH

Pada hari ini, rakan sebilik saya sangat gembira ketika pulang daripada pergi membeli-belah di pekan. Beberapa hari yang lepas, dia asyik bercakap dan memberitahu dirinya terasa untuk makan buah pisang. Jadi, keesokkan harinya dia ke pekan dan membeli sesisir pisang. Dengan hati yang gembira dia berkata:

Rakan sebilik : Hari ni dapat makan pisang. Ambil tau kalau nak.
Saya : Tak apalah, saya tak suka makan pisang.
Rakan sebilik : Saya suka. Senang buka. Tak gaduh nak buka kulit. (sambil ketawa)
Saya : Ha…gaduh? Apsal nak gaduh-gaduh pulak? (dalam hati saja)
Rakan sebilik : Kalau nak makan buah epal, kena ada yang tolong kupaskan kulit baru saya makan.
Saya : Oh… (ketawa sendiri kerana baru faham)

Sahabat saya berasal dari Pulau Pinang dan saya pula berasal dari Johor. Sebelum ini saya tidak pernah tinggal satu bilik dengan sahabat yang berasal dari Pulau Pinang, jadi bahasa dialek yang digunakan olehnya sedikit sebanyak kurang saya fahami. Apa yang dimaksudkan dengan perkataan ‘tak gaduh’ itu ialah ‘tak susah dan tak payah’. Di sini berlaku pertembungan penggunaan bahasa dialek yang kadang kala tidak dapat difahami. Namun, menerusi gaya pengucapan kata-katanya, kita dapat memahami maksud yang diperkatakan itu.

LAGU KANAK-KANAK YANG MENGHIBURKAN

Lagu kanak-kanak sangat menghiburkan kepada sesiapa walaupun usia kita sudah semakin meningkat. Lagu kanak-kanak ini kita pelajari dan ketahuinya sama ada sewaktu sekolah atau mendengar rakan-rakan menyanyi. Banyak ajaran positif yang ditonjolkan dalam lagu kanak-kanak ini kerana menerapkan puisi tradisional seperti pantun. Oleh itu, kita mahupun kanak-kanak dapat mempelajari pantun melalui lagu kanak-kanak. Rentetan itu, puisi tradisional ini dapat dihidupkan sentiasa dalam bentuk apa sekalipun supaya 'tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas'. Antara lagu kanak-kanak yang masih popular ialah rasa sayang, lagu tiga kupang, burung kakak tua dan banyak lagi. Di bawah ini saya sertakan lagu kanak-kanak yang bertajuk ‘Rasa Sayang’, selamat berhibur.


Rasa sayang eh 
Rasa sayang sayang eh 
Eh lihat nona jauh 
Rasa sayang sayang eh

Buah cempedak diluar pagar
Ambil galah tolong jolokkan
Kami budak baru belajar
Kalau salah tolong tunjukkan



SURAT KIRIMAN RASMI

Kadang kala kita sering lupa format untuk menghasilkan sebuah karangan surat kiriman rasmi. Padahal di peringkat sekolah, kita sudah mempelajari format karangan tersebut hampir setiap tahun. Mungkin kita tidak lupa, tetapi kerana tidak biasa menulis surat kiriman rasmi menyebabkan kita berasa ragu-ragu dan perlunya rujukan tentang karangan tersebut. Pada minggu lepas, rakan sebilik saya ingin menulis surat kiriman rasmi diatas ketidakhadirannya ke kuliah. Oleh sebab rakan sebilik saya ini ragu-ragu dengan format yang betul bagi karangan tersebut, dia telah mencari karangan surat kiriman rasmi di laman web untuk dijadikan sebagai contoh. Maklum sahajalah, di laman web bermacam-macam format yang boleh didapati. Salah satunya seperti karangan surat kiriman rasmi di bawah:


Penggunaan bahasanya rojak dan format yang digunakan juga tidak betul, boleh merosakkan sistem bahasa Melayu. Karangan jenis surat kiriman rasmi yang baik dan tepat formatnya adalah seperti berikut:

Kampung Awek,
22000, Jerteh,
Terengganu.
________________________________________________________________
Guru kelas,
Tahun 6 kenanga,
Sekolah Kebangsaan Darau,
22000, Jerteh,
Terengganu.                                           20 OKTOBER 1998              

Cikgu,
Tidak Dapat Hadir Ke Sekolah
Berhubung dengan perkara di atas, saya Habibah Bt. Ghazali murid Tahun 6 Kenanga ingin memaklumkan bahawa saya tidak hadir ke sekolah kerana diserang demam panas.  
2.     Saya telah pun mendapatkan rawatan doktor di salah sebuah klinik. Doktor menasihatkan saya supaya berehat selama dua hari.
3.     Bersama-sama surat ini, saya sertakan surat akuan doktor untuk makluman dan tindakan cikgu. Saya berharap agar cepat sembuh dan dapat datang semula ke sekolah seperti biasa.  
Atas perhatian dan kerjasama cikgu, saya dahului dengan ucapan terima kasih.        
Sekian.
Yang benar,
( HABIBAH BT. GHAZALI )