Pada hujung minggu yang lepas, saya pergi menghadiri kenduri kahwin sepupu saya. Setelah selesai menjamu selera, saya bersama sanak saudara yang lain berbual-bual kosong. Ketika saya berbual-bual, datang tiga orang budak lelaki dalam lingkungan tujuh tahun makan berhadapan dengan saya. Saya cuba mencuri perbualan tiga sekawan tersebut. Antara perbualan yang saya dengar adalah berkaitan dengan membaca al-Quran. Masing-masing menceritakan tentang setakat mana yang telah dipelajari dan dibaca oleh mereka. Salah seorang daripadanya pula khabarnya sedikit lagi akan khatam al-Quran. Di dalam hati saya ‘bagus betul budak ini, anak siapa agaknya’.
Khatam al-Quran suatu yang menyeronokkan |
Komen/pendapat:
Sebenarnya, jarang sekali saya mendengar perbualan kanak-kanak lelaki ke arah keagamaan. Bukankah kanak-kanak lelaki lebih seronok berbual-bual tentang cerita kartun, permainan seperti robot, bola sepak atau sebagainya? Namun, apa yang saya dengar sangat berbeza dengan tanggapan saya itu. Pada pandangan saya, apabila kanak-kanak itu telah dididik dengan ilmu agama sejak kecil lagi, pemikiran mereka juga terdorong untuk memikirkan soal-soal agama. Mereka sebenarnya dilihat ingin menceritakan kelebihan masing-masing. Hal demikian juga sangat baik kerana secara langsung dapat mendorong mereka untuk berlumba-lumba mempelajari kitab Allah ini. Bukankah khatam al-Quran itu suatu yang menyeronokkan? Pasti anda juga pernah melalui zaman kanak-kanak seperti itu. Persaingan sihat begini sekaligus dapat melahirkan generasi yang lebih baik dan saya mendoakan kanak-kanak itu tergolong dalam kalangan generasi yang berguna untuk agama, bangsa dan negara.
0 ulasan:
Catat Ulasan