Situasi yang saya ingin ceritakan ini berlaku ketika saya dan rakan-rakan hendak pulang dari menghadiri kuliah ganti di kampus. Dalam perjalanan menuju ke kolej, rakan saya yang duduk di sebelah saya menunjukkan sesuatu. Pastinya gosip.
Si A : Kau nampak tak apa yang aku nampak?
Saya : Apa? Apa yang kau nampak?
Si A : Nampak tak si gedik tu jalan dengan siapa?
Saya : Ha? Gedik? Mana-mana?
Si A : Kau ni… sudah terang lagi bersportlight tu. Tak nampak lagi?
Saya : Tak nampak la.
Si A : Si gedik tu dah pergi. Dah tak nampak.
Lihat peribahasa yang digunakan oleh rakan saya itu. Pada zaman ini, kita dapat mendengar peribahasa-peribahasa yang sudah ditukar perkataannya mengikut kreativiti masing-masing. Tujuannya untuk berlawak atau secara sengaja. Seharusnya peribahasa tersebut berbunyi ‘sudah terang lagi bersuluh’, iaitu bermaksud perkara yang sudah terang dan nyata sehingga diketahui umum. Mungkin perkataan ‘bersuluh’ ditukarkan pada perkataan ‘bersportlight’ kerana untuk menunjukkan sesuatu perkara itu benar-benar terang, maklum sajalah sportlight lebih besar dan dapat menerangi permukaan luas yang gelap. Pada pandangan saya, pengubahan perkataan dalam peribahasa tersebut sudah menghilangkan nilai estetik peribahasa itu. Sedang negara memperluas warisan bahasa kita, penutur yang menggunakan bahasa tersebut telah mencemarkannya sendiri.
0 ulasan:
Catat Ulasan