CLICK HERE FOR FREE BLOG LAYOUTS, LINK BUTTONS AND MORE! »

Jumaat, 18 Februari 2011

SURAT KIRIMAN RASMI

Kadang kala kita sering lupa format untuk menghasilkan sebuah karangan surat kiriman rasmi. Padahal di peringkat sekolah, kita sudah mempelajari format karangan tersebut hampir setiap tahun. Mungkin kita tidak lupa, tetapi kerana tidak biasa menulis surat kiriman rasmi menyebabkan kita berasa ragu-ragu dan perlunya rujukan tentang karangan tersebut. Pada minggu lepas, rakan sebilik saya ingin menulis surat kiriman rasmi diatas ketidakhadirannya ke kuliah. Oleh sebab rakan sebilik saya ini ragu-ragu dengan format yang betul bagi karangan tersebut, dia telah mencari karangan surat kiriman rasmi di laman web untuk dijadikan sebagai contoh. Maklum sahajalah, di laman web bermacam-macam format yang boleh didapati. Salah satunya seperti karangan surat kiriman rasmi di bawah:


Penggunaan bahasanya rojak dan format yang digunakan juga tidak betul, boleh merosakkan sistem bahasa Melayu. Karangan jenis surat kiriman rasmi yang baik dan tepat formatnya adalah seperti berikut:

Kampung Awek,
22000, Jerteh,
Terengganu.
________________________________________________________________
Guru kelas,
Tahun 6 kenanga,
Sekolah Kebangsaan Darau,
22000, Jerteh,
Terengganu.                                           20 OKTOBER 1998              

Cikgu,
Tidak Dapat Hadir Ke Sekolah
Berhubung dengan perkara di atas, saya Habibah Bt. Ghazali murid Tahun 6 Kenanga ingin memaklumkan bahawa saya tidak hadir ke sekolah kerana diserang demam panas.  
2.     Saya telah pun mendapatkan rawatan doktor di salah sebuah klinik. Doktor menasihatkan saya supaya berehat selama dua hari.
3.     Bersama-sama surat ini, saya sertakan surat akuan doktor untuk makluman dan tindakan cikgu. Saya berharap agar cepat sembuh dan dapat datang semula ke sekolah seperti biasa.  
Atas perhatian dan kerjasama cikgu, saya dahului dengan ucapan terima kasih.        
Sekian.
Yang benar,
( HABIBAH BT. GHAZALI ) 

TUDUNG

Tudung adalah sesuatu yang digunakan untuk menutup bahagian kepala. Bagi kaum wanita Islam bertudung, tudung merupakan suatu keperluan yang sangat penting. Penampilan bertudung yang cantik dan menarik sangat dititikberatkan kerana daripada penampilan luaran kita akan menggambarkan diri seseorang wanita. Pelbagai rekaan tudung yang hangat dipasaran ketika ini telah menambat hati kaum perempuan untuk membelinya. Karnival yang diadakan di Kolej Harun Aminurrashid dan kolej-kolej lain, antaranya menjual tudung yang mempunyai pelbagai jenis dan rupa. Kesemua tudung yang dijual mengikut rekaan terbaru pada masa kini.
Pada kali ini, saya bukan mahu menyentuh soal rekaan yang sedang hangat dipasaran tetapi kekreatifan pereka yang meletakkan nama tudung mereka. Adakah anda ingat suatu ketika dahulu, nama-nama artis yang sedang hangat dalam industri hiburan menjadi pilihan untuk dijadikan nama tudung yang direka? Rekaan tudung bawal telah mendapat nama masing-masing daripada nama artis yang sedang hangat. Sebagai contoh, tudung bawal Wardina, tudung bawal Mawi, tudung bawal Datuk K, tudung bawal Datuk Siti, tudung bawal Angkasawan, tudung bawal Manjalara, dan bermacam-macam lagilah nama nama artis yang ada.
Saya pasti dan jelas, penamaan tudung ini merupakan salah satu strategi untuk menarik pelanggan atau pembeli untuk membeli tudung tersebut.

Tudung Bawal Mawi

Tudung Bawal Dato' Siti Nurhaliza

Sabtu, 12 Februari 2011

SI KECIL



Pada pandangan saya, bahasa yang digunakan oleh ibu kepada anak kecil sebenarnya boleh mempengaruhi cara anak itu bercakap. Mungkin kita merasakan bahawa hal demikian tidak penting, tetapi sebenarnya amat mempengaruhi alat sebutan anak itu sendiri. Sedia maklum bahawa, kanak-kanak biasanya menggunakan bahasa yang pelat untuk berkata-kata. Jadi, mereka memerlukan persekitaran yang baik bagi membetulkan sebutan pelatnya. Ibu bapalah antara persekitaran terdekat bagi mereka untuk belajar bercakap dengan baik. Namun, apa yang selalu kita perhatikan ibu bapa lebih cenderung menggunakan bahasa pelat seperti anak-anak kecil mereka untuk berkomunikasi. Antara contoh bahasa kanak-kanak yang juga kita sebut ketika berkomunikasi dengan mereka adalah seperti ‘mamam' untuk makan, 'dodo' untuk tidur, 'yak' untuk buang air besar dan sebagainya. Jadi, kita yang lebih dewasa tidak perlu merendahkan taraf pertuturan kerana hanya melihat anak tidak dapat memahami kata-kata kita yang lebih dewasa. Akibat bercakap pelat ini sebenarnya akan menggalakkan anak kecil berterusan bercakap pelat. Video di bawah ini sekadar tatapan untuk kalian.




PESAN ORANG TUA KITA

Pada hari ini, saya mahu mengajak rakan-rakan mengingat kembali kata-kata orang tua yang selalu memberikan pesanan kepada kita. Ramai beranggapan bahawa orang tua ini banyak pantang larangnya, buat ini tidak boleh dan buat itu tidak boleh. Senang cerita, orang tua kita ini cerewet. Namun, segala pantang larang yang mereka turunkan kepada kita sebenarnya dapat membentuk peribadi yang baik.
Jika kita rajin berborak dengan orang tua tentu banyak pengajaran yang diperoleh. Kata pepatah mereka lebih dahulu makan garam, tepat sekali mengikut pengalaman mereka dalam kehidupan terdahulu yang sememangnya lebih banyak daripada kita.
Saya yakin, pasti ramai dalam kalangan anak-anak muda yang semakin lupa dengan pesanan orang tua. Mungkin beranggapan bahawa pesanan lama itu sudah tidak sesuai lagi digunakan pada zaman moden ini. Namun, ada pesanan orang tua kita yang boleh dijadikan panduan dalam hidup ini sepanjang zaman. Mana yang elok bolehlah diambil jadi panduan, yang tak elok itu dijadikan sempadan. 
Mari lihat, beberapa contoh kiasan yang digunakan orang tua-tua dan maksud disebaliknya :
CONTOH 1: Anak dara jangan menyanyi di dapur, nanti dapat suami tua.

Sebenarnya, bukankah tidak manis anak dara menyanyi sewaktu memasak atau ketika melakukan kerja-kerja dapur? Bila khusyuk sangat menyanyi tu, kerja yang cepat boleh jadi lambat. Silap-silap boleh hangus gulai ataupun tersembur air liur dalam gulai yang dimasak. Jadi, bertambahlah perasa dalam gulai itu. Selain itu juga, apabila sudah menjadi kebiasaan menyanyi di dapur, tiba-tiba ada tetamu berkunjung. Pasti ibu bapa kita malu apabila anak-anak kurang adab.


CONTOH 2 :

Tabiat duduk di atas bantal ini kebiasaannya sering dilakukan oleh kanak-kanak. Sebenarnya, orang tua kita sangat kreatif memberi khabar kepada anak-anak supaya tidak duduk di atas bantal kerana takut bisul. Apabila sudah bisul, susah untuk duduk dan memakai seluar. Jadi, kanak-kanak ini takut dan tabiat ini dapat dihapuskan. Jika ingin diterangkan mengapa tidak boleh duduk di atas bantal kepada kanak-kanak, mungkin mereka sukar faham. Jadi pesanan ini mampu mempengaruhi psikologi mereka.
Apa pandangan anda tentang pesanan nenek di atas? Fikir-fikirkanlah...

Jumaat, 11 Februari 2011

PENDEKATAN SI PENJUAL

Assalamualaikum. Kelmarin saya dan Ita terserempak dengan seorang rakan Ita ketika kami sedang asyik berjalan-jalan di bawah bangunan blok 3, Kolej Harun Aminurrashid. Kisah ini berkaitan juga dengan sikap penjual kepada pelanggan. Tidak dapat saya nafikan lagi, penjual sememangnya sangat pandai bermain dengan kata-kata untuk melariskan barangannya. Perkataan pertama yang dikeluarkan oleh penjual untuk mendapatkan pelanggan pasti mesra, ditambah dengan senyuman yang manis. Dialog antara penjual dan Ita seperti berikut:

Penjual : Hai, kak Ita.
Ita : Hai…
Penjual : Kak Ita, nak tunjuk sesuatu ni. (Datang menghampiri Ita dan mula tersenyum manis)
Ita : Nak tunjuk apa?
Penjual : Saya jual baju t-shirt ni, kak Ita. Belilah.
Ita : (Membelek-belek katalog yang diberikan) Berapa baju t-shirt lengan pendek ni?
Penjual : 28 ringgit. Lengan panjang 30 ringgit.
Ita : Mahalnya.
Penjual : Kain baju makin mahal sekarang. Belilah kak Ita. Saya nak cari duit ni. Nak bayar lingua phoneHutang tak habis bayar lagi, kak Ita.
Ita  : Nanti kak Ita fikirkan ye. (Simpati juga dengan si penjual)

Beginilah cara penjual memancing hati pembeli. Ada yang menggunakan kata-kata simpati, ada juga menggunakan kata-kata yang mesra dan sebagainya. Terpulanglah kepada kita untuk menilai.

TEKNOLOGI SEMAKIN HEBAT

Pengaruh teknologi moden pada masa kini sungguh hebat terutamanya terhadap anak-anak muda. Teknologi yang paling dekat dan hebat digunakan adalah telefon bimbit. Salah satu pengaruh dalam telefon bimbit yang tidak memberikan manfaat kepada pengguna adalah tawaran-tawaran hebat untuk memenangi hadiah lumayan kononnya, langganan permainan dan sebagainya.
Adakah anda pernah melanggan, misalnya ‘ON CINTA’, ‘ON KAWAN’ dan sebagainya? Kata-kata yang digunakan sememangnya dapat menarik minat, terutama kepada remaja yang asyik bercinta.
Selain itu, sistem pesanan ringkas yang biasa diterima oleh pengguna adalah kemenangan cabutan bertuah. Melalui SMS yang diterima membuat pengguna percaya ditambah lagi dengan tawaran hebat yang diberikan. Lihat contoh pesanan ringkas di bawah:


Walaupun penggunaan bahasa yang digunakan itu baik, tetapi pesanan ringkas seperti diatas ini salah dari segi undang-undang.

Isnin, 7 Februari 2011

PERKATAAN TAK NORMAL (GILA)

Penggunaan perkataan ‘gila’ sudah menjadi kebiasaan dalam pergaulan remaja terutamanya. Segala perkara tidak kira yang tampak baik atau buruk diselitkan dengan perkataan ‘gila’. Penggunaan perkataan ‘gila’ ini seolah-olah dijadikan pengganti kata penguat yang menggambarkan sesuatu benda yang ‘paling, sangat dan terlampau’. Di bawah ini saya berikan contoh kata yang digandingkan dengan perkataan ‘gila’.

'Cantik gila'

'Pandai gila'
'Buruk gila'
'Kotor gila'

Contoh 1: cantik gila – membawa maksud sangat cantik.

Disini dapat dilihat kesalahan penggunaan kata penguat dalam ayat. Walhal sebenarnya, gila itu bermaksud tidak waras fikirannya, tidak normal dan sebagainya. Seseorang yang sudah dikatakan pandai pun, dikatakan gila juga. Jadi, apakah maksudnya? Adakah perkataan bahasa Melayu kita semakin maju?