CLICK HERE FOR FREE BLOG LAYOUTS, LINK BUTTONS AND MORE! »

Jumaat, 11 Februari 2011

PENDEKATAN SI PENJUAL

Assalamualaikum. Kelmarin saya dan Ita terserempak dengan seorang rakan Ita ketika kami sedang asyik berjalan-jalan di bawah bangunan blok 3, Kolej Harun Aminurrashid. Kisah ini berkaitan juga dengan sikap penjual kepada pelanggan. Tidak dapat saya nafikan lagi, penjual sememangnya sangat pandai bermain dengan kata-kata untuk melariskan barangannya. Perkataan pertama yang dikeluarkan oleh penjual untuk mendapatkan pelanggan pasti mesra, ditambah dengan senyuman yang manis. Dialog antara penjual dan Ita seperti berikut:

Penjual : Hai, kak Ita.
Ita : Hai…
Penjual : Kak Ita, nak tunjuk sesuatu ni. (Datang menghampiri Ita dan mula tersenyum manis)
Ita : Nak tunjuk apa?
Penjual : Saya jual baju t-shirt ni, kak Ita. Belilah.
Ita : (Membelek-belek katalog yang diberikan) Berapa baju t-shirt lengan pendek ni?
Penjual : 28 ringgit. Lengan panjang 30 ringgit.
Ita : Mahalnya.
Penjual : Kain baju makin mahal sekarang. Belilah kak Ita. Saya nak cari duit ni. Nak bayar lingua phoneHutang tak habis bayar lagi, kak Ita.
Ita  : Nanti kak Ita fikirkan ye. (Simpati juga dengan si penjual)

Beginilah cara penjual memancing hati pembeli. Ada yang menggunakan kata-kata simpati, ada juga menggunakan kata-kata yang mesra dan sebagainya. Terpulanglah kepada kita untuk menilai.

TEKNOLOGI SEMAKIN HEBAT

Pengaruh teknologi moden pada masa kini sungguh hebat terutamanya terhadap anak-anak muda. Teknologi yang paling dekat dan hebat digunakan adalah telefon bimbit. Salah satu pengaruh dalam telefon bimbit yang tidak memberikan manfaat kepada pengguna adalah tawaran-tawaran hebat untuk memenangi hadiah lumayan kononnya, langganan permainan dan sebagainya.
Adakah anda pernah melanggan, misalnya ‘ON CINTA’, ‘ON KAWAN’ dan sebagainya? Kata-kata yang digunakan sememangnya dapat menarik minat, terutama kepada remaja yang asyik bercinta.
Selain itu, sistem pesanan ringkas yang biasa diterima oleh pengguna adalah kemenangan cabutan bertuah. Melalui SMS yang diterima membuat pengguna percaya ditambah lagi dengan tawaran hebat yang diberikan. Lihat contoh pesanan ringkas di bawah:


Walaupun penggunaan bahasa yang digunakan itu baik, tetapi pesanan ringkas seperti diatas ini salah dari segi undang-undang.

Isnin, 7 Februari 2011

PERKATAAN TAK NORMAL (GILA)

Penggunaan perkataan ‘gila’ sudah menjadi kebiasaan dalam pergaulan remaja terutamanya. Segala perkara tidak kira yang tampak baik atau buruk diselitkan dengan perkataan ‘gila’. Penggunaan perkataan ‘gila’ ini seolah-olah dijadikan pengganti kata penguat yang menggambarkan sesuatu benda yang ‘paling, sangat dan terlampau’. Di bawah ini saya berikan contoh kata yang digandingkan dengan perkataan ‘gila’.

'Cantik gila'

'Pandai gila'
'Buruk gila'
'Kotor gila'

Contoh 1: cantik gila – membawa maksud sangat cantik.

Disini dapat dilihat kesalahan penggunaan kata penguat dalam ayat. Walhal sebenarnya, gila itu bermaksud tidak waras fikirannya, tidak normal dan sebagainya. Seseorang yang sudah dikatakan pandai pun, dikatakan gila juga. Jadi, apakah maksudnya? Adakah perkataan bahasa Melayu kita semakin maju?

CERAMAH AGAMA

Assalamualaikum. Hari ini saya melihat video yang mana sangat berbeza, antara duniawi dan akhirat. Sekadar mukadimah, jika boleh ingin sekali kita kecapi kebaikan yang ada nikmatnya dalam dunia dan akhirat. Namun, itu mungkin sekadar hati yang berkata-kata tetapi zahirnya tidak jua dapat melakukan. Antara konsert dan ceramah agama, yang mana satu anda rasa lebih nikmatnya? Jika konsert, apakah manfaatnya dari kata-kata yang penuh dengan puitis cinta? Mungkin ceramah agama dijadikan pilihan kedua dan hal ini mungkin kerana tiada harga untuk dibayar masuk, jadi dirasakan sangat hambar untuk dikunjungi berbanding konsert yang mempunyai harga yang tinggi untuk masuk dan sertai.
Saya hanya ingin melihat penggunaan kata-kata yang hebat dan menarik yang digunakan oleh penceramah agama kita pada masa kini. Pada pandangan saya, penceramah agama ini sudah boleh dianggap sebagai artis. Artis untuk kita jadikan panduan dan juga memberi peringatan kepada kita sebagai umat Islam. Banyak pendekatan yang cuba dilakukan untuk menarik minat kita mendengar peringatan yang ingin disampaikan. Penggunaan kata sememangnya penting lebih-lebih lagi untuk menarik minat remaja pada masa kini. Jadi, mungkin penceramah perlu lebih santai dan bersahaja dari segi penggunaan bahasa. Lihat ceramah agama dalam video di bawah:


Jika ceramah yang diberikan seperti dalam video di atas, saya pasti setiap peringkat umur akan tertarik untuk mendengar. Ceramah yang santai dan tidak terlalu serius (ada diselitkan unsur-unsur jenaka) inilah yang diperlukan dan sangat sesuai bagi remaja di Malaysia ini.




NASI MINYAK PUNYA HAL

Salah faham dalam pergaulan merupakan perkara biasa yang sering terjadi dalam hidup bermasyarakat. Dalam situasi ini, saya sekadar menjadi pemerhati setia kepada tetamu yang hadir di majlis akikah anak saudara saya. Segala persiapan sudah dilakukan, hanya menunggu ketibaan tetamu untuk menjamu selera. Sedang saya asyik memerhati, datang seorang makcik menegur saya yang sedang sibuk melayan rakan saya yang hadir. Kebetulan pada waktu itu, saya sedang menemani rakan lelaki untuk makan.

Makcik : Ayu, nampaknya sekejap lagi makcik makan nasi minyak lagi.

Saya : Ye, makcik. Jemput makan. Saya sudah makan tadi.
Makcik : (mengulangi kembali apa yang ingin disampaikan tadi, mungkin supaya saya lebih jelas maksud tersiratnya)
Saya : Ye, makan-makan (secara jujur menjemputnya untuk makan)
Makcik : (ulang kembali apa yang diperkatakan tadi sambil ketawa)

Akhirnya, saya baru faham maksud tersirat makcik itu lalu ketawa. Mungkin sewaktu sibuk melayan seseorang, kita akan mengabaikan kata-kata orang lain yang tiba-tiba menyapa kita. Jadi betul juga apa yang sering orang kata, kalau mahu menyampuk beri salam terlebih dahulu. Assalamualaikum.

BUDAK ZAMAN SEKARANG

Kisah ini sekadar pemerhatian saya sendiri, anda yang menentukan perkara ini benar ataupun tidak. Budak zaman sekarang memang semakin aktif dan bijak. Banyak perkara atau benda yang mudah dipelajari dalam zaman yang serba canggih ini. Banyak juga perkara yang tidak pernah kita terfikir, dalam usia yang kecil dapat mengeluarkan kata-kata yang tidak dijangkakan.
Ini kisah anak saudara saya yang berusia dua tahun. Dia seorang yang aktif dan sangat becok. Apa yang menghairankan saya, dia sudah pandai menyebut perkataan seperti ‘sengal’ dan ‘bo***’ walaupun tidak faham lagi erti perkataan tersebut. Namun, dia menggunakan perkataan tersebut tepat pada situasi tertentu seperti mana yang kita gunakan. Sebagai contoh, dia akan menyebut perkataan tersebut ketika dirinya disakat dan jika seseorang itu melakukan sesuatu kelakuan yang tidak baik.

Pada pemerhatian saya, faktor persekitaran menjadi punca utama masalah ini. Sebagai contoh, dia kerap mendengar adik-beradik saya bergurau dan kadangkala terlepas cakap dengan menyebut perkataan tersebut.
Oleh itu, kami sekeluarga perlu beringat untuk berkata-kata. Kanak-kanak pada usia seperti anak saudara saya ini sedang dalam proses belajar menyebut dan mempelajari sesuatu yang baru. Jadi, kita yang lebih dewasa harus memberikan contoh terbaik untuk mereka.

RAGAM PENJUAL

Pada hujung minggu yang lepas, saya pergi ke sebuah pusat membeli-belah. Hajat saya untuk membeli sebuah beg sandang. Setiap kedai yang menjual beg di pusat membeli-belah di situ saya kunjungi. Kebanyakkan kedai yang saya kunjungi semuanya menjual beg yang cantik dan menarik. Kata-kata si penjual juga sangat manis untuk menarik minat pelanggan. Antara kata-kata yang sering digunakan sepanjang saya mengunjungi kedai-kedai beg di situ adalah seperti berikut:

‘Ini barang baru sampai’

‘Ini pattern baru sampai’ 

Kata-kata seperti di atas benar-benar dapat mempengaruhi pembeli untuk membeli barangan mereka. Hal ini kerana, apabila si penjual mengeluarkan kata-kata yang seakan-akan memaksa untuk membeli, boleh menyebabkan pelanggan tawar hati untuk membeli barangan walaupun barang yang dijual itu cantik.
Penggunaan kata yang kurang manis ini digunakan oleh seorang penjual di salah sebuah kedai beg di pusat membeli-belah di situ. Pada awalnya, si penjual mengeluarkan kata-kata yang manis seperti kata-kata yang dijelaskan tadi. Apabila saya tidak jadi untuk membeli, si penjual mengeluarkan kata-kata seperti berikut:

Awak datang lagi sekali harga sudah naik, tak ada diskaun lagi. Dua kali ganda saya letak harga’ 

Kata-kata yang diujarkan itu tampak seperti ingin bergurau, tetapi sebenarnya kata-kata itu boleh menyebabkan pelanggan tidak akan kembali lagi di kedai tersebut untuk membeli.