CLICK HERE FOR FREE BLOG LAYOUTS, LINK BUTTONS AND MORE! »

Jumaat, 18 Mac 2011

SIAPA HARUS DIPERSALAHKAN?

Salah satu strategi untuk menghebahkan sesuatu program atau sebagainya adalah melalui pengiklanan. Antaranya pengiklanan melalui cetakkan kertas yang dapat menjimatkan kos dan mudah tersebar kepada masyarakat umum. Lihat iklan tersebut:



Komen/pendapat:
Sedia maklum bahawa, pengiklanan adalah bertujuan untuk menyebarkan maklumat secara umum. Jadi, jika maklumat itu diketahui umum dengan cepat maka strategi yang digunakan itu berkesan. Namun, dari segi penggunaan bahasa tidak diambil serius dalam mengiklankan sesuatu. Cuba anda perhatikan kesalahan bahasa dalam iklan tersebut. Sememangnya, pasti sukar mengelakkan kesalahan bahasa, tetapi contoh iklan di atas sangat jelas kesalahan bahasanya. Apabila penganjur sudah memilih untuk menggunakan bahasa Melayu mereka seharusnya menggunakan bahasa Melayu itu dengan sebaiknya, walaupun iklan tersebut untuk penyertaan debat bahasa Inggeris. Kesalahan yang sangat jelas ditunjukkan adalah penggunaan tanda seru dan tanda soal yang banyak dan penggunaan bahasa Inggeris yang diselitkan dalam iklan. Kesalahan yang digunakan sangat ringkas, namun sedikit sebanyak akan mencemarkan bahasa Melayu.

APABILA HATI TERUJA

Program Pesta Buku dan Informasi yang diadakan di Kolej Harun Aminurrashid sangat meriah. Program ini juga dimeriahkan lagi dengan jualan-jualan seperti pakaian, makanan dan sebagainya. Sepanjang minggu itu, cerita yang sering saya dengar dari rakan-rakan serumah adalah berkaitan dengan jualan dan program tersebut. Pada suatu petang, saya bertanya kepada salah seorang rakan serumah saya.

Saya : Mia, macam mana ok? (Saya menegur Mia ketika dia sedang melihat dirinya di cermin.)
Mia : Ok. Tadi Mia pergi tukar baju ni? Semalam beli nampak kecik. Ok kan?

Gambar Hiasan

Saya : Ha, ok. Ok je. (Sebenarnya bukan itu maksud pertanyaan saya tadi. Saya ingin tahu bagaimana dia menjadi pengacara di program tersebut kerana sebelum ini Mia tidak pernah lagi menjadi pengacara sesuatu majlis. Oleh sebab tidak mahu memalukan dirinya, saya pun tidak menyoal kembali)

Pada pandangan saya, Mia mungkin terlalu fokus dan teruja dengan baju yang dibeli olehnya berbanding menjadi pengacara majlis. Sehubungan dengan itu, pertanyaan saya yang tidak lengkap itu juga membuatkan Mia tidak menjawab dengan baik. Walaupun, pertanyaan itu boleh ditanyakan sekali lagi, namun mungkin pertanyaan sekali lagi itu akan membuatkan Mia berasa malu kerana dia dilihat sangat teruja dengan baju barunya. Kadangkala dalam situasi tertentu kita perlu menjaga hati dan perasaan rakan.

Khamis, 17 Mac 2011

SITUASI DI KEDAI FOTOSTAT


Pada hari ini, saya pergi ke kedai fotostat. Dialog di bawah ini menunjukkan sikap pemilik kedai tersebut:

Saya : Berapa semuanya?
Pemilik kedai : Lima puluh sen sahaja.
Saya : Sekejap ye. (Sambil mencari duit syiling yang terdapat dalam kotak pensil saya)
Pemilik kedai : Nak bagi duit pun lambat. (wajahnya serius)

Ya Allah, tunggu sebentar pun tidak boleh. Jadi benarlah kata-kata ‘penantian itu satu penyeksaan’. Saya tidak berkata apa-apa. Hanya mencari duit syiling untuk membayar. Pada pandangan saya, pemilik kedai itu tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata sebegitu. Jikalau bergurau sekalipun, pasti akan mengguris hati pelanggan. Tambahan pula, tidak mengenali antara satu sama lain. Kata-kata pemilik kedai itu seolah-olah menunjukkan saya tiada wang besar untuk diberikan kepadanya. Padahal, bukankah lagi mudah jika saya membayar dengan wang yang secukupnya dan tidak perlulah untuk memulangkan wang baki.
Jadi, satu kursus etika beradab seharusnya dilakukan oleh kerajaan kepada peniaga-peniaga Malaysia. Jika masyarakat luar yang datang sebagai pelanggan, pasti mereka memandang serong terhadap cara kita beradab..

Rabu, 16 Mac 2011

PERIBAHASA ZAMAN SEKARANG

Pada hari ini, saya menonton drama ‘Adnan Sempit The Series’. Sedang saya menonton, saya dapati ada peribahasa yang diselitkan dalam cerita tersebut. Mari kita ikuti sedikit sedutan daripada cerita ini:




‘Dimana ada kemahuan, disitu ada highway’. Peribahasa inilah yang diselitkan dalam video diatas. Pada pandangan saya, peribahasa yang diselitkan dalam cerita ini ada baik dan buruknya. Peribahasa yang digunakan dalam cerita ini tidak dinafikan secara langsung membantu penonton ingat kembali peribahasa Melayu. Namun, apabila peribahasa ini telah digunakan oleh secara meluas, maka peribahasa lama akan dilupai. Kita juga mengetahui bahawa media massa merupakan medium yang sangat besar pengaruhnya kepada remaja dan juga kanak-kanak. Jadi, hal demikian boleh menyebabkan peribahasa Melayu semakin pupus. 

DENGAR KATA-KATA ORANG TUA

Orang tua-tua zaman dulu sering memberikan isyarat atau tanda tertentu. Bahasa isyarat ini menggunakan pergerakan anggota badan sahaja. Contohnya seperti mengenyit mata, mengerling mata, mengangkat tangan, memuncungkan mulut dan sebagainya. Anak-anak generasi terdahulu juga memahami apa yang ingin disampaikan oleh orang tua mereka. Sebagai contoh, pada hari tersebut tetamu datang mengunjungi rumah. Jadi sebagai anak perempuannya perlu menyediakan air untuk tetamu. Ibu pula akan memberi isyarat mengenyit mata. Maka, anak perempuan itu faham dan pergi ke dapur. Namun, pada zaman ini anak-anak semakin tidak mengerti bahasa isyarat yang ditunjukkan oleh orang tuanya. Apabila ibu kita mengenyit mata, anaknya bertanya pula ‘kenapa mak? Sakit mata ye?’.

Hal berikutnya ini mungkin juga berlaku kepada anda sewaktu zaman kanak-kanak dahulu. Situasinya seperti di bawah:

Si Emak : Emy, nak ke mana tengah-tengah hari ni? Tidur sini.
Si Anak : Tak nak. Nak pergi main pondok-pondok dengan Ira.
Si Emak : Ha… pergilah… pergi…
Si Anak : (tak jadi pergi)




Kiasan yang digunakan oleh ibunya itu difahami oleh anaknya. Ibunya memang benar-benar tidak mahu anaknya keluar bermain pada waktu itu. Kebiasaannya, waktu tengah hari adalah waktu makan dan tidur. Namun, kanak-kanak sememangnya tidak kenal erti penat kerana fikiran mereka terarah untuk bermain. Ibu juga sebenarnya tidak mahu anaknya keluar bermain di rumah jiran pada waktu tengah hari kerana khuatir anaknya diberi makan. Hal demikian kerana ibu khuatir jiran akan mengatakan bahawa anaknya tidak makan, walaupun hal ini sebenarnya tidak terlintas dalam fikiran jirannya. Dalam situasi sekarang pula, jika dibandingkan dengan kanak-kanak pada zaman ini mereka tidak akan faham dengan maksud yang dikatakan oleh orang tuanya. Malah, mereka akan melakukan sesuatu itu walaupun ditegah.

HORMAT-MENGHORMATI

Situasi yang ingin saya ceritakan ini berlaku semasa saya ingin pulang ke kampung. Sewaktu itu stesan bas Puduraya tidak lagi beroperasi, jadi untuk pulang ke Johor kami perlu menaiki bas di Bukit Jalil. Sedang kami berjalan untuk menyeberang jalan dan bergegas menuju ke kawasan bas, seorang pemandu teksi dalam lingkungan 50 tahun itu menegur kami.

Pemandu teksi : Nak ke mana?
Kami : Johor. Kami sudah beli tiket bas.
(Kami tahu pakcik itu mahu kami menaiki teksinya jika tidak membeli tiket lagi. Jadi, kami jawab sebegitu. Kami dengan pantas berjalan untuk mengejar masa, takut tertinggal bas)
Pemandu teksi : Orang tanya baik-baik. Macam ni ke pelajar universiti? Nampak je pakai tudung, tapi kurang ajar. Otak letak kat lutut. (macam-macam lagi perkataan yang terkeluar daripada mulutnya)

Sememangnya kami sangat terkejut dengan kata-kata pemandu teksi itu. Kami sempat lagi menoleh ke belakang sebelum melintas, pemandu teksi itu tetap juga membebel dan mengeluarkan perkataan yang tidak baik. Jika diikutkan hati ingin saja menegur sikap pakcik itu, namun kami sudah lewat dan tidak mahu mencari gaduh. Maklum sajalah, di Kuala Lumpur berbagai-bagai jenis manusia boleh kita lihat dan boleh berlaku.
Pada pandangan saya, nasihat seperti orang muda perlu menghormati orang yang lebih tua itu tidak seimbang. Seharusnya, orang yang lebih tualah yang perlu menunjukkan sikap-sikap positif dan adab yang sopan, jika mahu orang yang lebih muda menghormati mereka. Dalam situasi itu, kami menjawab dengan ringkas kerana perlu mengejar masa. Jadi, pemandu teksi itu perlulah faham. Mungkin kemarahannya itu disebabkan tiada penumpang yang menaiki teksinya. Namun sikap seperti itu sebenarnya membuatkan pelanggannya semakin berkurangan.

Sabtu, 5 Mac 2011

PERIBAHASA MODEN

Situasi yang saya ingin ceritakan ini berlaku ketika saya dan rakan-rakan hendak pulang dari menghadiri kuliah ganti di kampus. Dalam perjalanan menuju ke kolej, rakan saya yang duduk di sebelah saya menunjukkan sesuatu. Pastinya gosip.

Si A  : Kau nampak tak apa yang aku nampak?
Saya : Apa? Apa yang kau nampak?
Si A  : Nampak tak si gedik tu jalan dengan siapa?
Saya : Ha? Gedik? Mana-mana?
Si A  : Kau ni… sudah terang lagi bersportlight tu. Tak nampak lagi?
Saya : Tak nampak la.
Si A  : Si gedik tu dah pergi. Dah tak nampak.


Lihat peribahasa yang digunakan oleh rakan saya itu. Pada zaman ini, kita dapat mendengar peribahasa-peribahasa yang sudah ditukar perkataannya mengikut kreativiti masing-masing. Tujuannya untuk berlawak atau secara sengaja. Seharusnya peribahasa tersebut berbunyi ‘sudah terang lagi bersuluh’, iaitu bermaksud perkara yang sudah terang dan nyata sehingga diketahui umum. Mungkin perkataan ‘bersuluh’ ditukarkan pada perkataan ‘bersportlight’ kerana untuk menunjukkan sesuatu perkara itu benar-benar terang, maklum sajalah sportlight lebih besar dan dapat menerangi permukaan luas yang gelap. Pada pandangan saya, pengubahan perkataan dalam peribahasa tersebut sudah menghilangkan nilai estetik peribahasa itu. Sedang negara memperluas warisan bahasa kita, penutur yang menggunakan bahasa tersebut telah mencemarkannya sendiri.