CLICK HERE FOR FREE BLOG LAYOUTS, LINK BUTTONS AND MORE! »

Ahad, 23 Januari 2011

SANTUN ITU SOPAN

Santun itu sopan, halus dan beradab. Puisi juga penuh dengan santun bahasanya. Penyair dan bahasa memang tidak dapat dipisahkan, kerana bahasa adalah alat pengucapan untuk puisi yang menjadi penyambung di antara penyair dan masyarakat.  Daripada kesantunan kata, ungkapan dan ayat dalam puisi, pendengar akan mengalami sendiri gambaran atau keberkesanan sesebuah sajak. Tidak kiralah apa yang digambarkan oleh khalayak, masing-masing mempunyai kesan tersendiri. Penggunaan gaya bahasa yang indah dan dapat mengesan jiwa itu sebenarnya penuh dengan kesantunan berbahasa. Sepertimana kata Za’ba, puisi itu karangan berangkap yang khas dipakai untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah serta melukiskan dengan kemanisan dan kecantikan bahasa.

Contoh Sajak

Melalui contoh puisi di atas, gaya bahasa dapat dikesan pada gaya metafora iaitu kedaifan diri yang menyelimuti dan gaya personifikasi iaitu datanglah aman, jemputlah tenang. Puisi yang digubah dalam bahasa yang indah itu dapat menyatakan fikiran, perasaan, pengalaman dan sebagainya. Mungkin sikap seseorang yang pemarah boleh diredakan atau dielakkan dengan menghasilkan puisi. Daripada mengeluarkan kata-kata yang kesat kepada seseorang atau sesuatu objek yang sebenarnya lebih menambahkan api kemarahan, lebih elok berbahasa melalui penulisan. Mungkin selepas itu, anda boleh menjadi seorang yang santun.



Jumaat, 21 Januari 2011

SAYA TERFIKIR UNTUK BERUBAH

Apa itu bahasa dialek sosial? Dialek sosial ialah bahasa rendah atau bahasa yang tidak terkawal. Sebagai contoh bahasa yang sering kita gunakan dalam entri-entri di laman Facebook, Twiter, blog-blog dan juga bahasa yang digunakan dalam sistem pesanan ringkas (sms). Oleh itu, bahasa rendah ini dianggap menunjukkan tanda atau tahap yang rendah apabila kita menggunakannya dalam pembelajaran. Hal demikian kerana, bahasa tinggi adalah lebih sesuai digunakan dalam ilmiah yang bertujuan untuk menjana tamadun dan pemikiran. Walau bagaimanapun, dialek sosial yang digunakan dalam SMS sememangnya sangat hebat mempengaruhi penggunaan bahasa kita pada masa kini. Persoalan yang timbul, bagaimana anda dapat menghasilkan sebuah karangan bahasa Melayu yang baik dan bermutu padahal kebiasaannya kita menggunakan dialek sosial dalam berkomunikasi, yang tanpa kita sedari sedikit sebanyak akan membunuh bahasa Melayu. Mari lihat contoh bahasa SMS yang menggerunkan pada pandangan saya:


A : angan sdeh le kwan.....skrang gdnyte sengal...haha
F : HaHa . . . ne de aq sedih meyh ! ! gmbire lg ade . . . HaHa . . .
A : eleh...yela ko.....aq x taw prsaan ko...
F : HaHa . . . . ayt ni aq dh salu dengor ar dr mlut ko . .cbe gne ayt len . . . HaHa . . . tp de sorg kwn aq ni salu ckp gudnyte kat aq . . . HaHa . . . jeng3 . . . . HaHa . . .
A : eleh?????yeke????bnyak lgi laki len.....wt segan je..haha
F : HaHa . . . segan2 . . .penampo nak . . . HaHa . . . . wak lu . lu ingt wa ni pe . . . HaHa . . .

Apa pandangan anda? Bahasanya sukar untuk difahami. Tampak sekali kita seperti pelat berbahasa sendiri. Jadi, bagaimana jika orang asing yang baru berjinak-jinak mempelajari bahasa kita melihat entri tersebut? Sia-sialah usaha badan-badan tertentu mahu menjadikan bahasa kita sebagai bahasa dunia. Jadi, saya terfikir untuk berubah.

Khamis, 20 Januari 2011

MELENTUR BULUH BIARLAH DARI REBUNGNYA

Assalamualaikum. Hari ini saya mahu mengajak kalian menonton cerita kanak-kanak yang banyak memberikan teladan., serta didikan kepada kanak-kanak supaya mereka memahami kehidupan bermasyarakat. Cerita-cerita kanak-kanak seperti Sang Kancil dan Buaya, Sang Kancil dan Monyet dan beberapa lagi kisah menarik dapat memberikan pengajaran secara tidak langsung. Dari segi penggunaan bahasa yang digunakan juga sangat sesuai bagi peringkat kanak-kanak. Cerita teladan ini menggunakan bahasa yang ringkas dan mudah difahami oleh kanak-kanak. Pelbagai animasi yang menarik juga sudah pasti dapat menarik minat kanak-kanak untuk menonton dan belajar sesuatu. Mari lihat video-video di bawah:


Sang Kancil dan Buaya

Sang Kancil, Buaya dan Kerbau

Sang Kancil dan Monyet

Telur Sebiji Riuh Sekampung

Setelah menonton, apa pandangan anda? Sangat menarik bukan? Di dalam cerita kanak-kanak ini juga diselitkan dengan kata-kata nasihat dan peribahasa yang sangat bergunakan untuk pembelajaran pelajar. Sebagai contoh peribahasa yang diselitkan dalam cerita ini ialah “telur sebiji riuh sekampung” dan “sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga”. Melalui cerita kanak-kanak ini jugalah bahasa kebangsaan kita iaitu bahasa Malaysia dapat dimartabatkan dan dipelihara. Selain itu, cerita “Upin dan Ipin” yang semakin popular di kaca televisyen juga sangat baik untuk pembelajaran kanak-kanak. Bahasa yang digunakan juga baik, selain memberikan input yang positif kepada golongan anak-anak. Pada usia yang muda inilah amat sesuai untuk memelihara bahasa yang digunakan oleh kanak-kanak supaya mereka tidak terlalu terikut-ikut menggunakan bahasa rojak. Bak kata pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.

Kisah Upin dan Ipin

Rabu, 19 Januari 2011

HOBI SAYA MEMBACA KOMIK

Hari ini, saya berminat untuk melihat penggunaan bahasa di dalam komik. Majoriti peminat komik adalah kanak-kanak dan remaja. Mari sama-sama kita lihat contoh komik di bawah:


Komen/pendapat:
Komik ialah buku yang mengandungi cerita yang disertai dengan gambar-gambar yang melucukan. Banyak manfaat yang diperolehi melalui komik, salah satunya dapat mengisi waktu lapang. Namun, anda perlu ingat bahawa banyak penggunaan bahasa yang salah terdapat di dalam komik. Bahasa yang digunakan tidak menggunakan bahasa Melayu standard dan sering menggunakan bahasa rojak. Sebagai contoh, pada huruf yang telah dibulatkan dengan tanda berwarna merah (looser, kehenseman, hotak dan lain-lain). Penggunaan bahasa ini sangat mempengaruhi kanak-kanak yang membaca. Jadi, bagaimana jika kanak-kanak itu menyatakan hobinya adalah membaca komik? Tidak mustahil mereka akan terikut-ikut menggunakan perkataan-perkataan tersebut dalam pembelajaran. Selain itu, bahasa yang digunakan juga kadangkala tidak sesuai dibaca oleh kanak-kanak kerana terdapat juga komik yang menggunakan bahasa berunsur lucah walaupun tujuan utama adalah sekadar membuat lawak. Oleh itu, ibu bapa perlulah membuat pemantauan mengenai bahan bacaan anak-anak mereka di rumah.


SYURGA DI BAWAH TELAPAK KAKI IBU

Pada hari ini, saya mengisi masa terluang dengan menonton cerekarama yang popular di TV3 iaitu bertajuk Suara Saleha. Cerekarama ini mengisahkan tentang kehidupan sebuah keluarga. Ibunya, bernama Ita tidak dapat menerima kenyataan bahawa suaminya sudah tiada dan rentetan itu dia hidup dalam dunia khayalannya sendiri yang menganggap suaminya masih hidup. Anaknya yang sulung, bernama Saleha sangat bekerja keras untuk menyara kehidupan ibu dan adik perempuannya iaitu Diah. Manakala Diah pula, seorang anak yang suka memberontak dan seringkali meninggi suara ketika bercakap dengan ibu dan kakaknya. Sikap Diah inilah yang ingin saya bincangkan dalam ruangan ini. Adakah saya sendiri pernah meninggikan suara kepada orang yang lebih tua? Bahasa bagaimana perlu digunakan untuk memelihara adab kita sebagai seorang anak? Mari kita saksikan babak yang saya petik dari cerekarama Suara Saleha.

Sedikit sedutan daripada kisah Suara Saleha (skrip oleh Fauziah Nawi)

Komen/pendapat:
Dalam dunia yang serba-serbi canggih ini, ramai dalam kalangan kita tidak lagi menghormati ibu bapa. Sebagai seorang anak, kita tidak seharusnya meninggikan suara apatah lagi terhadap orang tua dan orang yang lebih tua. Walaupun penggunaan bahasa yang digunakan tidak salah dari segi strukturnya, tetapi apabila nada suara itu tinggi, kata-kata yang dikeluarkan itu tampak kasar dan kesat. Hal demikian tidak sesuai digunakan oleh kita sebagai seorang anak. Maka seharusnya kita perlu memainkan peranan sebagai seorang anak kepada ibu bapa walaupun mereka melakukan perkara yang melanggari syarak Islam, jadi tegurlah dengan cara lemah lembut.
Allah berfirman, "Kami wasiatkan kepada manusia agar bersikap baik kepada kedua orang tua." (Al-Ankabut : 8). Firman lainnya, "Dan Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain Allah, dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua orang tua. Jika salah seorang telah lanjut usianya, atau kedua-duanya telah tua, janganlah sekali-kali engkau berani berkata 'ah' terhadap mereka dan janganlah engkau suka menggertak mereka. Tetapi berkatalah dengan sopan santun dan lemah lembut."(Al-Isra' :23).

Selasa, 18 Januari 2011

ALAHAI NASIB

Pada 11 Januari 2011, aku telah ditimpa musibah. Musibah yang aku terima bukanlah sebesar mana seperti dilanggar lari atau sebagainya. Musibah ini berlaku atas kecuaian sendiri. Dipendekkan cerita, aku telah kehilangan sebuah telefon bimbit. Situasi sebenar yang ingin aku ceritakan adalah semasa aku membuat aduan di Pejabat Keselamatan, setelah telefon bimbit aku gagal dijumpai dan dikesan. Aku hanya berharap jika telefon bimbit aku dijumpai atau diserahkan oleh sesiapa di pejabat tersebut, pihak pejabat akan menghubungi aku. Jadi, aku perlu mengisi satu borang aduan. Semasa aku sedang mengisi butiran, seorang kakitangan yang berpakaian seragam pegawai keselamatan berkata dengan nada yang serius:

“Isi borang tu cepat, lepas tu letak atas meja je. Cepat, waktu dah nak abis ni.”


Wajahnya juga tampak serius. Baiklah, aku akan mengisi butiran tersebut sepantas yang boleh memandangkan waktu sudah menunjukkan jam 5 petang.
Tidak lama selepas itu, seorang lagi kakitangan lain bertanya kepada rakan yang menemani aku.

Kakitangan B : Kenapa?
Rakan aku : Handset hilang.
Kakitangan B : Dekat mana?
Rakan aku : Dewan kuliah C.
Kakitangan B : Apa? (tidak dengar)
Aku : DKC (saya tolong jawabkan pertanyaan itu dengan menyebut satu persatu)
Kakitangan B : Apa? DKT?

Lantas aku menunjukkan butiran yang aku telah tulis di dalam borang tersebut. Kemudian, barulah beliau faham.

Komen/ pendapat:
Penggunaan bahasa sememangnya sangat mempengaruhi latar belakang seseorang atau situasi. Penggunaan bahasa yang digunakan oleh kakitangan A sedikit tegas dan telah membuatkan saya terburu-buru untuk menulis butiran aduan. Seharusnya, kakitangan tersebut perlu menunjukkan cara yang betul untuk mengisi borang supaya lebih mudah dan cepat. Walaupun jam telah menunjukkan tamatnya waktu pejabat, seharusnya kakitangan tersebut perlu memberikan layanan yang baik kepada mereka yang sedang mengalami kesulitan. Oleh itu, saya rasakan banyak faktor mengapa ada sesetengah pihak yang enggan membuat aduan, antaranya takut dengan sikap ketegasan yang ditunjukkan oleh pegawai. Penggunaan bahasa ringkas seperti ‘itu’ menjadi ‘tu’, ‘saja’ menjadi ‘je’ dan sebagainya juga digunakan dalam perbualan. Hal demikian tidak dapat dinafikan sering berlaku dimana-mana sahaja. Pada pandangan saya, penggunaan bahasa sopan lebih sesuai digunakan dalam situasi pekerjaan iaitu antara pegawai dan pengadu. Penggunaan bahasa yang sopan juga sebenarnya akan mempengaruhi persepsi pendengar. Bagi kakitangan B pula, penggunaan bahasa yang digunakan sangat ringkas, contohnya pertanyaan ‘kenapa’ dan ‘dekat mana’ digunakan untuk mengetahui sesuatu (namun mudah difahami). Tetapi, komunikasi antara individu ini tidak begitu lancar kerana satu individu lagi kurang jelas dengan penjelasan yang diberikan. Pendapat saya disini, penggunaan bahasa yang rendah dalam pekerjaan sebenarnya akan memberikan kesan yang tidak positif kepada pendengar dan karisma seseorang itu sangat berkait dengan penggunaan bahasanya. Bukan sekadar penggunaan bahasa baku sahaja, tetapi penggunaan bahasa sopan itu juga ada kepentingannya dalam masyarakat kita pada masa kini. Bak kata pepatah, ‘budi bahasa budaya kita’. Sekian.