CLICK HERE FOR FREE BLOG LAYOUTS, LINK BUTTONS AND MORE! »

Selasa, 18 Januari 2011

ALAHAI NASIB

Pada 11 Januari 2011, aku telah ditimpa musibah. Musibah yang aku terima bukanlah sebesar mana seperti dilanggar lari atau sebagainya. Musibah ini berlaku atas kecuaian sendiri. Dipendekkan cerita, aku telah kehilangan sebuah telefon bimbit. Situasi sebenar yang ingin aku ceritakan adalah semasa aku membuat aduan di Pejabat Keselamatan, setelah telefon bimbit aku gagal dijumpai dan dikesan. Aku hanya berharap jika telefon bimbit aku dijumpai atau diserahkan oleh sesiapa di pejabat tersebut, pihak pejabat akan menghubungi aku. Jadi, aku perlu mengisi satu borang aduan. Semasa aku sedang mengisi butiran, seorang kakitangan yang berpakaian seragam pegawai keselamatan berkata dengan nada yang serius:

“Isi borang tu cepat, lepas tu letak atas meja je. Cepat, waktu dah nak abis ni.”


Wajahnya juga tampak serius. Baiklah, aku akan mengisi butiran tersebut sepantas yang boleh memandangkan waktu sudah menunjukkan jam 5 petang.
Tidak lama selepas itu, seorang lagi kakitangan lain bertanya kepada rakan yang menemani aku.

Kakitangan B : Kenapa?
Rakan aku : Handset hilang.
Kakitangan B : Dekat mana?
Rakan aku : Dewan kuliah C.
Kakitangan B : Apa? (tidak dengar)
Aku : DKC (saya tolong jawabkan pertanyaan itu dengan menyebut satu persatu)
Kakitangan B : Apa? DKT?

Lantas aku menunjukkan butiran yang aku telah tulis di dalam borang tersebut. Kemudian, barulah beliau faham.

Komen/ pendapat:
Penggunaan bahasa sememangnya sangat mempengaruhi latar belakang seseorang atau situasi. Penggunaan bahasa yang digunakan oleh kakitangan A sedikit tegas dan telah membuatkan saya terburu-buru untuk menulis butiran aduan. Seharusnya, kakitangan tersebut perlu menunjukkan cara yang betul untuk mengisi borang supaya lebih mudah dan cepat. Walaupun jam telah menunjukkan tamatnya waktu pejabat, seharusnya kakitangan tersebut perlu memberikan layanan yang baik kepada mereka yang sedang mengalami kesulitan. Oleh itu, saya rasakan banyak faktor mengapa ada sesetengah pihak yang enggan membuat aduan, antaranya takut dengan sikap ketegasan yang ditunjukkan oleh pegawai. Penggunaan bahasa ringkas seperti ‘itu’ menjadi ‘tu’, ‘saja’ menjadi ‘je’ dan sebagainya juga digunakan dalam perbualan. Hal demikian tidak dapat dinafikan sering berlaku dimana-mana sahaja. Pada pandangan saya, penggunaan bahasa sopan lebih sesuai digunakan dalam situasi pekerjaan iaitu antara pegawai dan pengadu. Penggunaan bahasa yang sopan juga sebenarnya akan mempengaruhi persepsi pendengar. Bagi kakitangan B pula, penggunaan bahasa yang digunakan sangat ringkas, contohnya pertanyaan ‘kenapa’ dan ‘dekat mana’ digunakan untuk mengetahui sesuatu (namun mudah difahami). Tetapi, komunikasi antara individu ini tidak begitu lancar kerana satu individu lagi kurang jelas dengan penjelasan yang diberikan. Pendapat saya disini, penggunaan bahasa yang rendah dalam pekerjaan sebenarnya akan memberikan kesan yang tidak positif kepada pendengar dan karisma seseorang itu sangat berkait dengan penggunaan bahasanya. Bukan sekadar penggunaan bahasa baku sahaja, tetapi penggunaan bahasa sopan itu juga ada kepentingannya dalam masyarakat kita pada masa kini. Bak kata pepatah, ‘budi bahasa budaya kita’. Sekian.

0 ulasan:

Catat Ulasan